Assalamu’alaikum
Buku ini "Ila Warathatul Anbiya wad Duat Ila Allah" dikarang oleh penulis yang sangat terkenal iaitu Doktor Abdullah Nasih Ulwan dan merupakan pensyarah di Jamiah al-Malik Abdel Aziz di Jeddah.
Buku ini sangat memberi motivasi. Bekerja untuk Islam kadang-kadang sangat menguji diri.Ada ketika kita kuat, ada ketika kita rasa sangat lemah. Sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat mampu merangsang dan memberikan kita motivasi sepanjang zaman. Dulu mereka diuji, sekarang giliran kita diuji.Kalau kita katakan cabaran yang dihadapi oleh kita sudah cukup hebat, mereka lagi hebat diuji, dihina, dicaci kaum musyrikin Mekah.
Tertarik dengan satu kisah seorang pemuda di muka surat 73. Kisah Mus'ab bin 'Umayr.Sedikit terjemahan dari kutaib ini tentang Mus'ab bin 'Umayr.
Inilah kisah seorang pemuda yang bernama Mus'ab bin 'Umayr, yang hidupnya dibesarkan dalam kemewahan sejak kecil lagi dan ketika Islam menjadi pilihannya beliau diseksa seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalam kitabnya:
"Mus'ab bin 'Umayr adalah seorang pemuda yang segak dan kacak, kedua ibu bapanya sangat mengasihinya. Ibunya mempunyai harta yang sangat banyak dan Mus'ab akan memakai pakaian yang sangat mahal yang diperbuat daripada tenunan sutera.
Seluruh penduduk Makkah mengenalinya kerana keharuman minyak wangi yang selalu dipakai dan dia memakai sandal yang bermutu tinggi yang diimport dari Hadramaut, Yaman.
Mus'ab bin 'Umayr adalah antara orang terawal yang memeluk Islam di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Setelah itu,beliau telah dihantar oleh Rasulullah ke bumi Madinah untuk menyebarkan dakwah Islam di sana.
Beliau telah merahsiakan keislamannya daripada ibunya dan kaum keluarganya. Malang tidak berbau, mereka berjaya menghidu berita Mus'ab dari jauh.Akhirnya beliau telah dikurung dan diseksa…dengan takdir Allah,beliau berjaya meloloskan diri dari seksaan itu."
Berkata al-Khubab bin Arat: Kami berhijrah bersama Rasullullah s.a.w, dan Mus'ab bersama kami.Allah telah memilihnya syahid di medan Uhud. Saat ketika mayatnya hendak ditutupi dengan kain, tidak ada kain yang kami dapati melainkan sehelai burdah.
Kata Khubab: "Kalau kita meletakkan burdah ini di atas kepalanya, maka akan nampaklah kakinya, dan kalau kita menutupi kakinya maka akan terkeluarlah kepalanya"
Maka Rasulullah berkata:
اجعلوها مما يلي رأسه واجعلوا على رجليه من الاذخر
"Tutupilah burdah itu dikepalanya, dan kita akan tutupi kakinya dengan izkhir( tumbuh-tumbuhan yang harum baunya)"
Rasullullah berhenti di hadapan mayat Mus'ab yang syahid di jalan Allah dan mayatnya hanya ditutupi dengan sehelai kain burdah sahaja.Maka, mengalirlah air mata Nabi di atas kesedihan pemergian Mus'ab buat selama-lamanya.
Nabi berkata:
(( لقد رأيتك بمكة وما بها أحد أرق حلة ولا أحسن لمة منك ثم أنت شعت
الرأس في بردة))
"Aku pernah melihat kamu di Makkah, dan tidak ada orang lain yang lebih halus pakaian darimu, dan tidak ada orang lain yang lebih cantik rambutnya darimu, kemudian kamu syahid dengan rambut yang kusut dalam sehelai kain burdah"
Dan kemudian Nabi mebacakan ayat 23 dari surah al-Ahzab kepada Mus'ab bin 'Umayr;
من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya) QS 33:23
Perginya Mus'ab bin 'Umayr buat selama-lamanya.
Ya Allah..hebatnya Mus'ab..mencintai akhirat lebih segala-galanya.
Mengharapkan wujud pemuda-pemuda pada zaman ini seperti Mus'ab bin 'Umayr yang tidak gentar kepada perjuangan walaupun terpaksa meninggalkan kemewahan hidup lantaran cintanya yang menebal terhadap Islam.
Golongkan kami Ya Allah sepertinya dan syahidkan kami Ya Allah sepertimana Engkau mensyahidkan Mus'ab di jalanMu.
Ameen.
No comments:
Post a Comment