Thursday, October 23, 2014

Pedang Damascus | Victorinox

Bismillah
Assalamua'alaikum

Pada hari-hari persiapan adik saya ketiga (anak keenam daripada tujuh beradik) untuk ke ipta, UiTM Puncak Alam. Beliau mencari pisau kesayangan, pisau Victorinox. Mencari dengan bising. Akhirnya tak jumpa. Pergilah UiTM tanpa pisau itu. Pisau itu dimiliki kerana beliau mahasiswa bidang Perkhidmatan Makanan (Food Service).

Walaupun begitu, usaha mencari diteruskan. Cari sambil-sambil buat kerja di dapur. Saya tetiba rasa, saya pengguna terakhir pisau tu :D Tapi saya benar-benar lupa di mana selepas itu. Memang pisau tu tajam dan tajamlah pisau tu. Nak sebut nama pun, VICTORINOX. Dipendekkan cerita, pisau itu dijumpai oleh Ma di tingkat bawah rumah, di luar rumah, agaknya terjatuh melalui tingkap. Ma pun dengan excited kisahkan bagaimana boleh jumpa. Alhamdulillah selesai.


Pisau Victorinox Faizah


Pada Eid Adha yang lepas, terbaca status di facebook. Status tersebut; lebih kurang bermaksud; 
"Pisau victorinox ni buatan Switzerland. Orang barat kaji logam itu antara yang menjadi senjata perang yang diguna pakai oleh tentera Islam dalam peperangan salib."

Saya teringatkan Faizah, jadi saya hanya share status tersebut di group facebook family. Beliau teruja mahu beli banyak lagi pisau mahal tu.

Info yang baru dapat dari status itu membuat saya sentiasa berfikir dan berfikirlah. Kenapalah selama ni, takde jumpa fakta tentang senjata / besi yang digunakan semasa perang Salib itu merupakan satu faktor kemenangan dan barat mengkaji tentang logam itu. Sebab kurang membaca! Okey. 


Atlas Perang Salib | Merungkap Peristiwa Berdarah Abad Pertengahan


Saya cuba mencari lagi maklumat tentang besi pisau ini, rujuk buku Atlas Perang Salib, tak jumpa. Cuba google guna perkataan Victorinox, Army, Crusades, Sword, Pedang, Pisau, Iron. Beberapa laman yang saya jumpa yang membantu pencarian saya. 

Rupa-rupanya, pedang yang digunakan semasa Perang Salib namanya Pedang Damascus. Berdasarkan catatan sejarah, pedang Damascus ini merupakan senjata utama yang digunakan oleh tentera Islam ketika Perang Salib Ke-3 sekitar penghujung kurun ke-12. Salahuddin Al-Ayubi merupakan pemimpin tentera Islam ketika itu yang berjaya membebaskan kota Jerusalem daripada cengkaman puak salib selama hampir seratus tahun lamanya. Salah satu sebab kekalahan tentera Eropah ketika pertempuran itu ialah pasukan tentera Islam dilengkapi dengan pedang yang mampu membelah dan menembus baju besi crusader dengan sekali libasan, memotong dua pedang lawan, membelah perisai  dan batu tanpa mengalami kerosakan pada matanya iaitu Pedang Damascus. Pedang yang diakui paling tajam di dunia oleh pakar pembuatan pedang barat. Subhanallah hebat! 


Pedang Damascus 

Profesor Dr. Peter Paufler dan pasukan penyelidiknya dari University Teknikal Dresden, Jerman telah menemui tiub karbon nano di dalam pedang yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayubi dan tentera-tentera Islam dalam Perang Salib. Menurutnya , kunci kepada teknologi nano pedang ini terletak pada teknik pembuatanya yang unik. Bijih besi dari India yang dikenali sebagai wootz mengandungi sejumlah peratus unsur karbon yang memberikan sifat rapuh. Apabila dikenakan suhu yang amat tinggi sekitar 800 darjah Celcius, campuran besi dan karbon tadi akan ditambah dengan unsur-unsur seperti Kromium, Mangan, Kobalt dan beberapa unsur lain yang telah memberikannya sifat-sifat sebilah pedang setiawan, yakni tajam dan lentur.

Teknik pembuatan pedang ini begitu rahsia sehinggakan hanya beberapa keluarga tukang besi di Damsyik saja yang menguasainya. Akhirnya pada kurun ke-18, teknologi pembuatan pedang ini telah pupus. Apa yang tinggal hanyalah pedang-pedang, tombak dan pisau yang kini tersebar di pelbagai muzium di seluruh dunia. 

Baru saya tahu. Kita lebih mengagungkan peralatan, produk buatan barat. Sedangkan umat Islam sebagai pelopor. Lalu apa yang kita manfaatkan sumbangan generasi terdahulu? Menangisi atau menginsafi tak cukup. Bukan nak minta buat pedang pun. Zaman sekarang, barat pun tidak menyerang kita (Situasi di Malaysia) dengan pedang. Mereka menyerang kita secara halus. 

“Musuh-musuh Islam sentiasa mencari dan mengintai peluang, jika ada
kesempatan dan ruang untuk merosakkan umat Islam…”
-Syeikh Dr Yusuf Qaradawi, Kewajipan Pemuda Muslim Hari Ini

Saya menutup entri ini dengan ucapan Raja Louis ke 9 di hadapan tentera Salibiyah selepas dibebaskan dari penjara Dar Ibnu Luqman, Mansurah Mesir, katanya:

إذا أردتم أن تهزموا المسلمين فلا تقاتلوهم بالسلاح وحدة فقد هزمتم في معركة السلاح ولكن حاربوهم في عقيدتهم

Maksudnya: Jika kamu ingin menewaskan orang-orang Islam maka jangan perangi mereka dengan senjata semata-mata, telah terbukti kamu tewas, akan tetapi tumpukanlah serangan kamu terhadap aqidah mereka.

Sumber Sejarah Victorinox Swiss Army , Sejarah Pedang Paling Tajam Di Muka Bumi dan SERIUS : Pedang Damascus, Pedang Paling Tajam Di Dunia

#Just sharing!
#Entri yang tertangguh seminggu lebih.


No comments:

Post a Comment

KakiBlog