Showing posts with label Dunia Buku. Show all posts
Showing posts with label Dunia Buku. Show all posts

Saturday, June 11, 2016

Bidadari-Bidadari Surga


Bismillah

Bahagia je baca buku ni :)

"Dengarkanlah khabar bahagia ini.

Wahai wanita-wanita yang hingga usia tiga puluh, empat puluh atau lebih dari itu, tapi belum juga menikah (mungkin kerana keterbatasan fizik, kesempatan, atau tidak pernah ‘terpilih’ di dunia yang amat keterlaluan mencintai materi dan tampilan wajah). Yakinlah, wanita-wanita solehah yang sendiri, namun tetap mengisi hidupnya dengan indah, berbagi, berbuat baik, dan bersyukur. Kelak di hari akhir sungguh akan menjadi bidadari-bidadari syurga. Dan khabar baik itu pastilah benar bidadari syurga parasnya cantik luar biasa."

Petikan Epilog Bidadari-Bidadari Surga (BBS), Tere Liye.



Gambar : 25/07/2009
Laut Ajibah/Bahr Ageeba
Rehlah Tarbawiyyah Matroh & Siwa





Thursday, April 2, 2015

Buku Ensiklopedia Hadits

Bismillah

Assalamualaikum.



Buku Ensiklopedia Hadits  ini sampai jua (4 jilid pertama) di Kota Bharu dengan bantuan adik saya Ahmad Fauwaz. Beliau ke Kuala Lumpur untuk menghantar kereta kepada isterinya. Macam-macam cara saya fikir bagaimana untuk bawa balik kitab ni dengan harga yang murah. Huhu. Akhirnya inilah pilihan saya. Kena bayar duit tol je lah :D

Saya sebelum memutuskan untuk membeli kitab ini, banyak agen, kedai buku online saya survey dulu harga. Pertama sekali tengok iklan di Solusi RM 1,500.00, yang ni kena buat loan. Lama-lama semangat memiliki kitab ni semakin pudar dengan harga  ribu riban ni. Akhir sekali kawan saya hantar telegram promosi kitab ni RM 999.00. Saya memang tak tidur malam memikirkan kitab ni. Nak ke tak nak. Nak ke tak nak? Sehingga ke Jakarta saya memikirkan. Konon kan boleh pegi jalan-jalan beli kitab ni. Akhirnya tidak juga. 

Sehinggalah saya terbaca di facebook, ada kenalan menunjukkan dia membeli kitab tu dengan harga RM 1,500.00! Tanpa buang masa saya terus wasap book kitab tu. Masa tu duit memang tak cukup. Kalau ada pun nak guna untuk benda lain. Huhu. 

Alhamdulillah, rezeki yang tidak disangka-sangka, berjaya juga saya kumpul duit tanpa pinjam. Hanya minta doa daripada ma supaya dipermudahkan urusan.
Alhamdulillah :)

Kenapa saya beria benar nak memiliki kitab ni?

1 set lengkap mengandungi 8 jilid kitab hadith. Menghimpunkan Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud,Jami' at-Tirmizi
Sunan an-Nasa'ie, dan Sunan Ibnu Majah. Ensiklopdia ini mengandungi 32,000 lebih hadith juga terjemahan yang mudah difahami serta mempunyai tanda baris yang lengkap dan mudah. Best kan?

Sekarang ni ramai orang menyebarkan hadith yang palsu yang bukan bersandarkan Rasulullah sallahu alayhi wasallam. Jadi, inilah rujukan terbaik saya bila ada kemusykilan. Lagi-lagi dah ada terjemahan :D Sebelum ini saya ada kitab bahasa arab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Saya pernah menadah kitab Sahih Bukhari di Majlis Pembacaan Hadith Kutub Sittah anjuran PMRAM, walaupun belum tamat, saya bercita-cita mahu menamatkan juga, insha Allah.

Tuesday, December 23, 2014

Hikmah Kisah-Kisah Dalam Al-Quran

Bismillah
Assalamualaikum.



Saya mendapatkan buku ini melalui seorang kenalan yang belajar di Mesir. Jujur saya tidak pernah tahu akan kewujudan buku ini. Saya teringat buku karangan Syeikh Dr Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk Ila Warathatul Anbiya wad Duat Ila Allah. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sama minat dengan buku. Saya bukanlah ulat buku, tapi saya suka untuk tahu isi buku supaya senang untuk buat rujukan.

Kisah kisah dalam Al Quran, adalah sebenar benarnya kisah yang terjadi dan merupakan kisah kisah terbaik. Di dalamnya mengandungi nilai sastera yang sangat tinggi, makna yang sempurna, serta sangat besar hikmah dan manfaatnya. Kisah kisah itu hadir dengan membawa pengaruhnya yang sangat kuat untuk memperbaik hati, amal dan akhlak. Sebagaimana ditunjukkan dalam firmanNya, “Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al Quran ini kepadamu “ (QS Yusuf : 3)

Banyak sekali hikmah di sebalik kisah-kisah di dalam al Quran tersebut, antaranya : Penjelasan tentang kebijaksanaan dan ke- Maha Adilan Allah. Penjelasan tentang kurnia Allah terhadap orang orang yang beriman. Hiburan bagi Nabi SAW atas penderitaan yang beliau alami karena gangguan orang orang yang mendustakan beliau. Motivasi bagi kaum mukminin agar istiqomah di atas keimanan, ancaman bagi orang orang kafir atas kekafirannya, dan sebagai bukti atas kebenaran risalah yang di bawa rasulullah SAW.

Dalam buku ini menampilkan kisah kisah para nabi dan rasul beserta kaumnya sejak Nabi adam AS , Nabi Nuh Ibrahim , dan para Nabi lainnya hingga kehidupan Nabi Rasulullah SAW, para sahabat dan kaum munafikin, kisah peperangan Rasulullah hingga kisah beliau wafat.Begitu juga beberapa individu atau kelompok terhadap berbagai peristiwa yang mereka alami, seperti kisah Luqman Hakim, Ashabul Qaryah, Dzul Qarnain, Qarun, Ashabul Kahfi, pasukan gajah, Ashabul Ukhdud, dan kisah-kisah lainnya. Penulis menggunakan sistem ayat dalam menyajikan kisah-kisahnya sehingga huraiannya tersusun dengan tetap menjaga keasliannya. Selain itu, pelajaran dan hikmah yang disajikan sebagai penutup setiap kisah memudahkan pembaca dalam mengambil suri tauladan yang ada sekaligus menjadi kekuatan hikmah dari buku ini.


AdyanaNur

Kampung Baung

Pengkalan Chepa



Wednesday, October 15, 2014

Ilmu Sejarah Kelengkapan Pendakwah

Kitab Thaqafah al-Da'iyyah (Ilmu pengetahuan pendakwah)
Kitab ini didiskusikan ketika saya sebagai peserta Kolokium Imuan Q
@DPJA Mansurah

Bismillah.
Assalamu'alaikum

Tajuk post sengeling saya ambil tajuk artikel Solusi Isu 72 muka surat 44-45. Menarik tajuk ni, mengupas salah satu tajuk dalam buku Thaqafah al-Da'iyyah bab Thaqafah al-Tarikhiyyah karangan Dr Syeikh Yusuf al- Qaradawi. 

Dalam buku ini, Dr Syeikh Yusuf al- Qaradawi menyusun dengan kemas dan praktikal turutan dan penerangan cabang-cabang ilmu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh seseorang yang bergelar pendakwah samada secara rasmi atau tidak sebagai pengisian menjadi pendakwah yang baik.Buku ini juga asalnya merupakan kertas  kerja yang beliau sampaikan dalam Persidangan Dakwah Antarabangsa Pertama yang diselenggarakan oleh Universiti Madinah pada bulan Safar tahun 1397 hijrah.

Dr Syeikh Yusuf al- Qaradawi berpendapat bahawa persiapan ilmu dan pengrtahuan yang harus dimiliki dan disajikan kepada pendakwah meliputi beberapa cabang sebagaimana berikut:

1. Pengetahuan ilmu agama Islam
2. Pengetahuan Sejarah
3. Pengetahuan Kesusasteraan dan Bahasa
4. Pengetahuan Sains Kemanusiaan Sosiologi
5. Pengetahuan Sains
6. Pengetahuan Semasa (Ilmu Teknologi Maklumat contoh Media Baru)

Kenapa Sejarah?

Dr Syeikh Yusuf al- Qaradawi ada menjelaskan, "Seseorang yang ingin menjadi pendakwah yang baik, haruslah memiliki pengetahuan sejarah. Sebab sejarah itu bagaikan sebuah buku catatan tentang kemanusiaan; berisi catatan peristiwa yang dialami atau dilakukan oleh orang yang merupakan kumpulan pengetahuan dan hasil budayanya dan sekali gus merupakan bukti atau saksi yang adil atas segala macam cita dan karya mereka."

Beliau menyambung lagi, "Yang dipandang penting dalam konteks perbicaraan ini ialah sejarah Islam dan umatnya secara khusus serta sejarah dunia secara umumnya. Akan tetapi tidak dimaksudkan agar setiap pendakwah itu menjadi ahli sejarah. Sebab sulit dibayangkan adanya seseorang yang mengetahui sejarah manusia di dunia ini secara keseluruhan, sungguhpun orang yang dimaksudkan merupakan ahli sejarah. Dengan demikian apa yang perlu diketahui oleh pendakwah hanyalah tonggak dan garis-garis bersarnya yang perlu sahaja.



(لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ) 
[Surah Yusuf : 111]

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. 

Sejarah menghamparkan ibrah  bagi sesiapa yang mencarinya, dan ternyata mereka yang bersifat ulul albab ialah mereka yang akan berjaya mendapatkan ibrah tersebut. Masakan Allah mencipta sejarah tidak bersebab dan tidak bertujuan.

Mahasiswa Sejarah dan Tamadun Islam

Siapa sangka saya memilih untuk menyambung pengajian di peringkat diploma dalam bidang Sejarah dan Tamadun Islam. Satu-satu bidang pengajian yang paling tidak diminati dan paling minoriti di KUSZA (Baca : UDM). Juga mempunyai jam kredit paling banyak dalam Sekolah Pengajian Islam. Antara madah pengajian kami ialah Teori dan Kaedah Sejarah, Sejarah Awal Islam, Pengantar Tamadun, Sejarah Islam Bani Umayyah / Abbasiyyah, Tamadun Islam, Kelemahan / Kejatuhan Abbasiyyah, Sejarah Perkembangan Ilmu Islam, Kerajaan Kecil selepas Abbasiyyah dan semuanya kami belajar dalamn bahasa Arab kecuali TITAS. Di semester akhir kami menulis tesis (Kertas Penyelidikan), tajuk tesis  saya Ibnu Sina dan Sumbangannya dalam Tamadun Islam.

Alhamdulillah saya belajar dan bertahan sehingga berjaya mendapat Diploma Pengajian Islam (Sejarah dan Tamadun Islam). Cabaran lagi buat saya, bidang pengajian saya tidak ada di Mesir peringkat ijazah, sekiranya ada pun tiada pelajar menyambung peringkat degree di sana. Maka saya memutuskan untuk mengambil shortsem selama dua bulan untuk mengambil beberapa madah pengajian Syariah untuk melayakkan saya mendapat Diploma Pengajian Islam (Syariah) dan layak menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Al-Azhar. Double Diploma :)




Belajar dan memahami sejarah merupakan kesukaan saya.Walaupun tidaklah saya cemerlang dalam pelajaran ketika bergelar mahasiswa Sejarah.Di Mesir, identiti saya sebagai pelajar sejarah tidak diketahui umum. Sahabat sekUSZA sahaja yang tahu. Saya lebih selesa jika hanya dikenali sebagai pelajar Syariah dan itulah yang berlaku. Sehinggalah pada satu situasi yang berlaku sedikit khilaf antara sahabat tentang fakta sejarah. Saya pun lupa tentang apa, samada tentang Kerajaan Umayyah dan Abbasiyyah atau tentang Duwaylat / Kerajaan Kecil. Saya cuba merungkai kekusutan ketika itu dengan merujuk beberapa buah kitab dan ingat balik ilmu di kuliah STI. Alhamdulillah, dan ketika itulah identiti terbongkar sedikit. Mereka terkejut, "Laaaa awat tak habaq". Saya menyambung, "Ilmu tak banyak" :D

Walaupun begitu sudah lama saya meninggalkan bidang Sejarah setelah menyambung pengajian dalam bidang Syariah. Kena asah balik melalui pembacaan atau sambung belajar dalam bidang sejarah? Ehem!

Rujukan
Thaqafah Da'iyyah / Dr Syeikh Yusuf al- Qaradawi / Maktabah Wahbah
Solusi Isu 72



Tuesday, October 14, 2014

Ukhuwah Islamiah

Gambar : HEWI DPMM 2008/2009


Bismillah.
Assalamu'alaikum.

Akhir-akhir ni saya sangat rindu dengan adik-beradik saya dalam gambar ini. Bukan sebelum  ni tak rindu, teringat. Tapi kali ini lain macam. Banyak pula throw back akhir-akhir ni. Kami dulu, kalau berselisih pendapat ke gaduh-gaduh ke ayat penyudahnya, "Nanti Kak Cik mesti rindu kat Kak Teh" ayat contoh, sebab saya sokmo ada-ada je dengan Kak Teh, mungkin sebab kami sama umur. Mungkin. Tersenyum bila teringat balik semua. Rindu!

Semua dah ada kehidupan masing-masing.Bekerja, berumahtangga dan ada yang sambung belajar ke peringkat sarjana. Sesekali ada juga berbual di facebook dan whats app. Alhamdulillah, walaupun jauh, saya terasa dekat dengan mereka. Kami pernah re union sekali April lepas bersama Mansourian yang lain dalam satu program Ijtima' Aalimat. Seronok tak terkata. Hebatnya persaudaraan kita dengan didasari ukhuwwah Islamiah.

Kutaib Ukhuwwah Islamiah 


Dalam sebuah buku yang bertajuk Ukhuwah Islamiah karangan Abdullah Nasih Ulwan, beliau telah menggariskan beberapa syarat-syarat dalam berukhuwah.

Antaranya:

1. Hendaklah ukhuwah itu terbina atas dasar keikhlasan kepada Allah.
2. Hendaklah ukhuwah tersebut terbina atas dasar keimanan dan ketakwaan.
3. Hendaklah ukhuwah berjalan dengan mengikut syariat Islamiah.
4. Hendaklah ukhuwah terbina atas konsep nasihat menasihati.
5. Hendaklah ukhuwah itu mekar dengan konsep bantu membantu di kala senang dan susah.



Saturday, October 4, 2014

Mus'ab bin 'Umayr


Bismillah.
Assalamu’alaikum


Buku ini "Ila Warathatul Anbiya wad Duat Ila Allah" dikarang oleh penulis yang sangat terkenal iaitu Doktor Abdullah Nasih Ulwan dan merupakan pensyarah di Jamiah al-Malik Abdel Aziz di Jeddah.

Buku ini sangat memberi motivasi. Bekerja untuk Islam kadang-kadang sangat menguji diri.Ada ketika kita kuat, ada ketika kita rasa sangat lemah. Sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat mampu merangsang dan memberikan kita motivasi sepanjang zaman. Dulu mereka diuji, sekarang giliran kita diuji.Kalau kita katakan cabaran yang dihadapi oleh kita sudah cukup hebat, mereka lagi hebat diuji, dihina, dicaci kaum musyrikin Mekah.

Tertarik dengan satu kisah seorang pemuda di muka surat 73. Kisah Mus'ab bin 'Umayr.Sedikit terjemahan dari kutaib ini tentang Mus'ab bin 'Umayr.

Inilah kisah seorang pemuda yang bernama Mus'ab bin 'Umayr, yang hidupnya dibesarkan dalam kemewahan sejak kecil lagi dan ketika Islam menjadi pilihannya beliau diseksa seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Saad dalam kitabnya:

"Mus'ab bin 'Umayr adalah seorang pemuda yang segak dan kacak, kedua ibu bapanya sangat mengasihinya. Ibunya mempunyai harta yang sangat banyak dan Mus'ab akan memakai pakaian yang sangat mahal yang diperbuat daripada tenunan sutera.

Seluruh penduduk Makkah mengenalinya kerana keharuman minyak wangi yang selalu dipakai dan dia memakai sandal yang bermutu tinggi yang diimport dari Hadramaut, Yaman.

Mus'ab bin 'Umayr adalah antara orang terawal yang memeluk Islam di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Setelah itu,beliau telah dihantar oleh Rasulullah ke bumi Madinah untuk menyebarkan dakwah Islam di sana.

Beliau telah merahsiakan keislamannya daripada ibunya dan kaum keluarganya. Malang tidak berbau, mereka berjaya menghidu berita Mus'ab dari jauh.Akhirnya beliau telah dikurung dan diseksa…dengan takdir Allah,beliau berjaya meloloskan diri dari seksaan itu."

Berkata al-Khubab bin Arat: Kami berhijrah bersama Rasullullah s.a.w, dan Mus'ab bersama kami.Allah telah memilihnya syahid di medan Uhud. Saat ketika mayatnya hendak ditutupi dengan kain, tidak ada kain yang kami dapati melainkan sehelai burdah.

Kata Khubab: "Kalau kita meletakkan burdah ini di atas kepalanya, maka akan nampaklah kakinya, dan kalau kita menutupi kakinya maka akan terkeluarlah kepalanya"

Maka Rasulullah berkata: 

اجعلوها مما يلي رأسه واجعلوا على رجليه من الاذخر

"Tutupilah burdah itu dikepalanya, dan kita akan tutupi kakinya dengan izkhir( tumbuh-tumbuhan yang harum baunya)"

Rasullullah berhenti di hadapan mayat Mus'ab yang syahid di jalan Allah dan mayatnya hanya ditutupi dengan sehelai kain burdah sahaja.Maka, mengalirlah air mata Nabi di atas kesedihan pemergian Mus'ab  buat selama-lamanya.

Nabi berkata:

(( لقد رأيتك بمكة وما بها أحد أرق حلة ولا أحسن لمة منك ثم أنت شعت
الرأس في بردة))

"Aku pernah melihat kamu di Makkah, dan tidak ada orang lain yang lebih halus pakaian darimu, dan tidak ada orang lain yang lebih cantik rambutnya darimu, kemudian kamu syahid dengan rambut yang kusut dalam sehelai kain burdah"

Dan kemudian Nabi mebacakan ayat 23 dari surah al-Ahzab kepada Mus'ab bin 'Umayr;

من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا 

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya) QS 33:23

Perginya Mus'ab bin 'Umayr buat selama-lamanya.
Ya Allah..hebatnya Mus'ab..mencintai akhirat lebih segala-galanya.
Mengharapkan wujud pemuda-pemuda pada zaman ini seperti Mus'ab bin 'Umayr yang tidak gentar kepada perjuangan walaupun terpaksa meninggalkan kemewahan hidup lantaran cintanya yang menebal terhadap Islam.

Golongkan kami Ya Allah sepertinya dan syahidkan kami Ya Allah sepertimana Engkau mensyahidkan Mus'ab di jalanMu.
Ameen.



Friday, October 3, 2014

Bahaya Aids Haraki Dalam Harakah Islamiah


Bismillah.
Assalamu’alaikum

 
Sebelum saya pulang ke Malaysia awal tahun 2012, merata juga saya mencari buku ni di maktabah-maktabah sekitar Kaherah dan Mansurah.Alhamdulillah, akhirnya saya tidak juga jumpa apatah lagi memiliki buku ini.

Nak sangat baca buku ini, selepas baca entri dari blog Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Bahaya Aids Haraki Dalam Harakah Islamiah oleh Ustaz Fathi Yakan.
(Virus Merbahaya Yang Menyerang Harakah Dakwah Masa Kini)

Muqaddimah

Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.

Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa'ul mu'minin.

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku "Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)", Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama'ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah 'amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.

Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul 'Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.


Mengenal Virus Merbahaya

Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :

1. Hilangnya Manna3ah I3tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu.

Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh. Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan.

Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata. Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.

2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah.

Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan.

Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya. Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan merealisasikan tujuan-tujuannya. Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa3idah sya3biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.

3. Isti3jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum.

Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya. Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah. Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak.

Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka. Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran.

Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah.

Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul 3amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta3addudul wala', justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim.

Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah. Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa3yu siyasi) dalam harakah.

Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa3yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional. Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. 

Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu "politik mendominasi tarbiah". Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.


Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).

Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW.

Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah 3Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah 3Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.

Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah 3Ala Thoriqud Dakwah).

Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.

Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.

Kesimpulan

Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar 3azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.

Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da'ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di negara kita.

Kepada para pejuang yang merindukan kejayaan.

Kepada rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskan sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia.

Wahai kalian yang rindu kemenangan.

Wahai kalian yang turun ke medan demi mempersembahkan jiwa dan raga untuk Islam tercinta.

http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/2006/03/bahaya-aids-haraki-dalam-harakah.html

Saturday, January 4, 2014

Khowathir Qur'aniyah

Bismillah.
Assalamu’alaikum

Buku Khowathir Qur'aniyah| Nazharat Fe Ahdafi Suwaril Qur'an.
Alhamdulillah akhirnya :)

Perlbagai halangan untuk memilikinya.Buku ini dicadangkan oleh seorang ustaz, beliau menyebut, buku ni bagus dan sesuai dimiliki oleh fasilitator.Menerangkan secara ringkas mengenai makna surah-surah dalam Al-Quran.Tulisan Amru Khalid.
Usaha mencari kitab ini di Pustaka Darussalam Kaherah, tapi ammu kata ma fish :(

Sehingga bulan Ramadhan, jumpa kitab terjemahan seperti dalam gambar, tapi tidak dapat memilikinya kerana bulan tersebut saya sudah membeli buku New Quantum Tarbiyah dan Titik Tolak.

Dipendekkan cerita, saya beli secara online yang ini.Walaupun mulanya ingin memiliki buku ini versi bahasa arab.Alhamduillah.Harga Year End Sale.Buku ini sangat sesuai dijadikan hadiah untuk teman-teman yang baru mula memahami isi-isi Al-Quran.Sebelum melangkah membuka kitab-kitab tafsir mu3tabar.

:)


Sunday, October 20, 2013

Bahagianya Merayakan Cinta


Bismillah.
Assalamu’alaikum

Berkahwin. Ia bukan masa untuk berehat dari tugas kekhalifahan. Kecuali bagi orang-orang yang memandangnya sebagai buah yang menanti dipetik selepas lama menjadi bujang, selepas lama berjuang. Kerana sesungguhnya berkahwin dan berjihad menyebarkan risalahNya adalah seiring sejalan.

Usamah bin Zaid menjadi penglima Islam ketika usianya 18 tahun. Namun sesungguhnya pada usia beliau 16 tahun beliau telah pun menikahi Fatimah binti Qais. Begitu juga dengan seorang pemuda tampan, Mus'ab bin Umair. Beliau menjadi duta pertama Islam ke Madinah setelah beliau menjadi suami kepada Hamnah bint Jahsy ketika masih di Mekah. Kedua-dua sahabat ini menjadi manusia hebat dalam sejarah selepas perkahwinan mereka. Kehidupan rumahtangga tidak melalaikan mereka dengan tugas mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak, bahkan menjadikan mereka manusia yang sangat kental memperjuangkan Islam. Mereka lebih mencintai Islam selepas pernikahan. Mereka lebih laju memacu langkah merebut peluang mencari redha Allah. Contohilah mereka, hayatilah rahsia rumahtangga yang menjadikan mereka luarbiasa.

Titiskanlah air mata andainya perkahwinan menghalang kita daripada menjadi seperti Usamah bin Zaid dan Mus'ab bin Umair. Mari kita menangis di hadapan Allah sekiranya perkahwinan melenakan manusia daripada tugas menjadi khalifah dan berjihad di jalanNya...

Jika kemalasan dan cintakan kerehatan telah merantai sebuah rumahtangga, jadi di manakah keberkatan sebuah pernikahan yang sepatutnya kita raih?

"Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi hari dan senja hari dengan mengharap keredhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginannya dan melampaui batas." [Al-Kahfi: 28]

Bahagianya Merayakan Cinta, Salim A Fillah.

Saturday, September 14, 2013

Di antara butiran batu aku akan berada di sini


Bismillah.
Assalamu’alaikum

Berderai air mata apabila melihat gambar ini tadi.
Ya Allah...Akulah manusia yang tidak bersyukur!
Ya Rabb :(

Suatu pagi, As-Syahid Hasan Al-Banna bertemu dengan Abbas as-Siisi yang matanya sembab kerana semalaman menangis.Ketika ditanya mengapa menangis, lalu ia menjawab bahawa semalam ia mendengar ada tanah kaum Muslimin yang jatuh ke tangan komunis.As-Syahid lalu mengatakan, " Bererti kamu sudah mulai menapaki jalan dakwah ini."

Baru mulai? Benar.Rasa peduli dan simpati itu baru permulaan.Sedar ada masalah.Simpati sahaja tidak cukup.Perlu ada bukti.Merasakan apa yang mereka rasakan.Kita tidak boleh mebiarkan umat terus terlelap dalam gemerlap cahaya.Kita punya al-Quran di rumah kita dan ada hadith nabi yang boleh di simpan dalam hard disk.Sedarlah, kita mesti belajar untuk bersyukur, menggunakan semua kemudahan yang telah dirintis oleh ilmuan untuk membangun peradaban. Get the spirit untuk bangkit dan bergerak pantas.

Petikan New Quantum Tarbiyah



Monday, June 10, 2013

Mudahkan Jangan Susahkan


Bismillah.
Assalamu’alaikum

Beberapa hari lepas saya makan tengahari bersama seorang teman di sebuah restoran nasi ulam di Kota Bharu, ketika makan lalu seorang penjaja makanan ringan di tepi meja kami.Ada kek dan popia nestum.Saya ambil popia nestum.Saya pada mulanya teragak nak beli, sebab dah sokmo sangat makan.Tapi beli juga, tiada salahnya.Ini kali kedua saya jumpa mak cik ni.Saya melihat beliau dari meja ke meja sehingga hilang dari pandangan mata.

Apa kaitan dengan gambar tisu ini? Saya teringat masa di Mesir.Selalu sangat jumpa mama-mama, budak-budak jual tisu.Di kuliah,mahattah,hadiqah dan banyak tempat lagi pasti ada yang akan jual tisu ni.

Mula-mula saya tak beli sangat.Sebab dah banyak tisu di rumah.Tapi lama kelamaan saya dah tak beli tisu di kedai-kedai, hanya membeli dengan mereka yang menjaja tisu tepi jalan sahaja.


"Saya selalu berusaha membeli barang jualan (peniaga-peniaga kecil) mengikut kemampuan saya untuk menyokong usaha mereka. Boleh kamu bayangkan betapa bahagia dan bersemangatnya seorang peniaga itu ketika barang jualannya dibeli?"
-Ammi Abu Bakar al-Hamid.

Petikan buku "Mudahkan, Jangan Susahkan."



Sunday, June 9, 2013

Ayyuhas Syabab

Risalah Ilasy Syabab-Majmuah Rasail

Bismillah.
Assalamu’alaikum

Sesungguhnya Imam As-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah telah menggariskan di dalam risalahnya "Risalah Ilasy-Syabab " tentang rukun-rukun kejayaan. 

Beliau berkata: "Sesungguhnya fikrah akan berjaya apabila keimanan kepadanya kuat, keikhlasan yang sempurna dalam merealisasikannya, semangat (hamasah) yang membuak-buak dalam memikulnya, serta wujud kesediaan untuk berkorban dan beramal demi menegakkannya." 

Dari kata-kata ini kita dapati rukun kejayaan itu empat perkara:
Iman
Ikhlas
Hamasah
Amal

Rukun-rukun ini merangkumi aspek ruh dan aqidah (iman dan ikhlas) di samping aspek amal dan pelaksaan (hamasah dan amal). Ini merupakan gabungan yang sungguh cantik, semangat (hamasah) pemuda, pengarahan yang baik, kemantapan fahaman, mendahulukan aspek aqidah daripada yang lain.

Di tempat lain beliau berkata: "Dan setiap orang yang beramal dengan benar dari kalangan kamu akan mendapati di medan Islam apa yang selari dengan kehendaknya dan memenuhi aktivitinya jika dia terdiri daripada orang yang benar."

Tabiat pemuda adalah hamasah. Jika tidak dikekang mungkin akan terlajak. Lantaran itu Imam al-Banna menasihatkan: "Kekanglah runtunan emosi dengan pandangan akal. Sinarilah pandangan akal dengan nyalaan emosi." 
Maka di sini Imam al-Banna mengekang dan mengawal semangat serta menghalakannya ke jalan yang betul dan lurus, jalan iman, ikhlas dan benar.

Maka berpegang teguhlah dengan empat rukun ini. Realisasikan di dalam diri kamu dan serulah orang lain daripada kamu. Beramallah dengannya dan tukarkan ia menjadi realiti yang bergerak bersama kamu di setiap medan kehidupan kamu.


Ucapan Mursyidul Am IM Dr Badie di Muktamar Tullab Ikhwan Muslimin pertama selepas revolusi.
Kaherah, Sabtu 26 Syawal 1432H bersamaan 24 September 2011M.


# "Sesungguhnya pemuda merupakan agen kebangkitan setiap umat, rahsia kekuatan pada setiap kebangkitan, dan pembawa bendera setiap fikrah."
As-Syahid Hasan Al-Banna

"Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk" QS 18:13



Wednesday, June 5, 2013

Buku~

Bismillah
Assalamu'alaikum

Buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu jika engkau sedang bekerja. Tetapi apabila engkau diulik kesepian, dialah teman yang akan menjadi temanmu paling baik.
~Al-Jahiz

Teman yang paling mulia sepanjang zaman adalah buku.
~Al-Mutanabbi

Read, you will conquer the world
~Napoleon Bonaparte



#Maktabah Al-E3lam, Rab3ah | 15 Disember 2011 
#Tiba-tiba sahaja rasa banyak buku yang belum dibaca.



Saturday, May 25, 2013

Pusat Pembangkit Tenaga Elektrik

Bismillah
Assalamu'alaikum

Imam Syahid Hasan Al Banna memberikan perumpamaan dengan perkataannya;

"Di setiap kota terdapat pusat pembangkit tenaga elektrik. Para pegawai memasang instalasinya di seluruh penjuru kota, memasang tiang dan kabel, setelah itu aliran elektrik masuk ke fabrik-fabrik, rumah-rumah, dan tempat-tempat lain. Jika aliran elektrik tersebut kita matikan dari pusat pembangkitnya, nescaya seluruh penjuru kota akan gelap gelita. Padahal saat itu tenaga elektrik ada dan tersimpan di pusat pembangkit elektrik, hanya saja tenaga elektrik yang ada itu tidak dimanfaatkan."

Al-Qur'an Al-Karim, ia adalah pusat pembangkit "tenaga" bagi kaum muslimin, tetapi sumber kekuatan itu kini dicampakkan oleh kaum muslimin sendiri, sehingga hati mereka menjadi gelap dan tatanan kehidupan pun menjadi rosak.

Tugas kita sebagai da'i adalah seperti tugas para pegawai elektrik, mengalirkan kekuatan ini dan sumbernya ke setiap hati orang-orang muslim agar senantiasa bersinar dan menerangi sekelilingnya. Allah swt. berfirman, "Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu ia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan keadaan orang yang berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya?" (Al-An'am: 122)

#Tulisan ini saya petik dari buku Thoriq Ilal Quluub | Syeikh Abbas Hassan as-Siisi


Gambar : Hari terakhir di Masjid Al-Azhar dengan Acu Jawahir 
07 Januari 2012 



Sunday, November 18, 2012

Dr. Mohamed Mursi: Dari Penjara Ke Istana - Presiden Mesir Nan Hafiz


Bismillah.
Assalamu’alaikum

Revolusi Mesir awal tahun lalu telah menghantar seorang anak petani menjadi Presiden. Dia memang belum lama terpilih sebagai Presiden. Namun, pelajaran berharga sudah diperoleh dari dirinya. Pidato yang dia sampaikan penuh dengan nasihat dan pengajaran yang patut diteladani oleh pengatur negara-negara manapun, terutama negara umat Islam.

Dr. Mursi mengajarkan bagaimana sebaiknya pemimpin bersikap. Dia menempatkan dirinya bukan sebagai penguasa, melainkan sebagai pelayan rakyat. Dia menempatkan toleransi di atas segala-galanya. Dia merapatkan perbedaan yang tidak prinsip. Mursi tidak hanya dikenal sebagai ahli akademik yang menyelesaikan program Doktornya di Universiti of Southern California. Dia juga peribadi sederhana yang sangat taat beragama. Dia menjadi presiden pertama Nan Hafiz, hafaz al-Quran 30 juzuk. Tidak hanya dia seorang, isteri dan lima orang anaknya juga hafaz 30 juzuk al-Quran.

Buku ini bertutur tentang biografi Dr. Mursi. Dimulai dari masa kecil hingga dirinya terpilih sebagai presiden. Kemudian menuturkan detik-detik Revolusi Mesir, proses pilihanraya umum hingga terpilihnya dia menjadi Presiden. Sedikit analisis tentang bagaimana kondisi 'dunia' setelah terpilihnya Dr. Mursi. Wa bil hal, keadaan Mesir dan Palestin. Diakui, segala penderitaan rakyat Palestin, khususnya Gaza, tidak boleh dipisahkan dengan kebijakan Mesir selama ini.

Dengan terpilihnya Dr. Mursi sebagai Presiden Mesir tentu akan merubah senario Palestin mengingat Presiden Mursi adalah bahagian dari al-Ikhwan al-Muslimun, jamaah yang berada di baris terdepan membela bangsa Palestin bersama dengan kumpulan lainnya.

Dan umat di Nusantara, amat bertuah dengan kisah keperihatinan Dr. Mursi, yang datang bersama Badan Kebajikan al-Ikhwan mengunjungi dan membantu rakyat Aceh, setelah tragedi Tsunami yang sangat menyayat hati pada 26 Disember 2004. Dan yang lebih penting biografinya adalah dia pernah dipenjarakan, sebagaimana pidato Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh menyambut kemenangan Dr. Mursi "bahawa penjara Mesir benar ajaib, masuk ke dalamnya Nabi Yusuf AS dan setelah keluar menjadi pemerintah Mesir pada waktu itu. Beberapa ratus abad kemudian Dr. Mursi yang juga dipenjarakan di tempat ini, keluar dari penjara kemudiannya menjadi Presiden Mesir dengan kehendak Allah, Subhanallah".


Sunday, August 26, 2012

Mudahnya Menjemput Rezeki

Bismillah.
Assalamu'alaikum

Kita pernah mendengar seseorang mengatakan, “Benarlah rezeki itu daripada Tuhan, tetapi kita kena usaha.”
Kita juga pernah mendengar kata-kata, “Benarlah kita kena usaha, tetapi rezeki itu daripada Tuhan.”


Bagaimana kita memahami kedua-dua ayat ini? Apa bezanya? Yang mana satu betul?
Ternyata kedua-dua ayat di atas bukanlah untuk memilih betul atau salah. Tindakan dan kata-kata kita cenderung mewakili apa yang kita rasa dan percayai.

Ada orang yang memang mempercayai rezeki itu daripada Tuhan. Namun melihat caranya berusaha, Tuhan dijadikannya nombor dua pula. Maksudnya apabila bertembung dengan situasi yang memerlukan dia membuat satu pilihan, keputusannya adalah Tuhan diletakkan nombor dua. 

Contohnya apabila dia sedang asyik dengan sesuatu perkara, sedang waktu solat sudah pun tiba, maka, solat dikemudiankan, malah dikerjakan di hujung-hujung waktu. Inilah golongan yang selesa mengucapkan ayat yang pertama itu.



Wednesday, July 25, 2012

Dari Beirut ke Jerusalem

Bismillah.
Assalamu'alaikum

Buku ini hasil tulisan Dr Ang Swee Chai diterbitkan Harakah sempena 25 tahun tragedi pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di kem Sabra dan Shatila yang menyayatkan. Ia menjadi parut yang menghantui umat Islam seluruh dunia dan menjadi lambang kekejaman dan kerakusan Yahudi di bumi Palestin yang terjajah.
-Dari Beirut ke Jerusalem|Sebuah kisah benar.

Saya sarankan bacalah buku setebal 403 mukasurat ini.


Buku ini mesti dibaca.Bagus isinya-Ustaz Riduan
Bacalah-Ustaz Nik Mohd Abduh


Boleh baca catatan Ustaz Nik Mohd Abduh

KakiBlog