Saturday, November 15, 2014

Pra Syarat Kemenangan Kita - Siri Keenam

Bismillah 
Assalamualaikum.

PRA SYARAT PERTAMA, KEDUA, KETIGA, KEEMPAT dan KELIMA



TIDAK  GENTAR TERHADAP  ANCAMAN  MUSUH

Sejurus pejuang menjejakkan kaki ke platform perjuangan untuk membasmi kejahilan , kedholiman , rasuah , korupsi dan 1001  jenis barah jahiliyyah yang  memusnahkan ummah ,  maka pejuang  tersebut mesti memiliki  ketahanan dan  keberanian yang tinggi untuk menyelesaikan visi dan misinya.

Sikap teragak – agak , acuh tak acuh , takut kepada  risiko dan tidak  berani menghadapi  kemungkinan – kemungkinan di pentas perjuangan hanyalah  menyebabkan seseorang  itu hilang kelayakkan  sebagai  seorang pejuang .[1]

Pejuang yang  memiliki iman berjenama tulen tidak akan tunduk dan akur kepada ancaman  , ugutan , tentangan dan halangan dari pihak musuh . Ia bersedia menghadapi  dan menerimanya dengan penyerahan / tawakkal yang bulat kepada Allah  tuhan yang Maha Perkasa .[2]

Prinsip seorang pejuang

Allah telah menggariskan  sifat  dan  prinsip yang mesti dimiliki oleh setiap pejuang dalam firmanNya :[3]

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَةَ  لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

( المآئدة  54 )

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Selebar mana empayar musuh ,  sehebat mana kekuatan musuh dan setinggi mana kekuasaan  musuh , kita  tidak perlu rasa  gentar dan terancam . Allah swt. telah  menegaskan :

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الإِسْلامَ دِينًا

( المآئدة  3 )

Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.

Sebagai seorang pejuang , kita sewajarnya membuang jauh  kebesaran makhluk (  rasa takut  kepada musuh ) justeru  iman  yang  ada  pada  kita mendidik supaya kita berjiwa besar dengan meletakkan ketuanan Allah swt .  di dalam jiwa  kita .

وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمْ الأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
  
( آل عمران  139 )

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang berdarjat tinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Kiranya rasa  takut  dan gentar terhadap ancaman musuh menyelubungi diri para  pejuang , ianya  sudah cukup membuatkan musuh  menang  sebelum  bertempur . Fenomena  ini sekali – kali tidak  dibenarkan  bertapak  dan menjalar dalam parti / jamaah kita.

Sememangnya kita tidak diajar bercita – cita mencari musuh sebaliknya dianjurkan supaya kita memelihara suasana  yang sejahtera dan aman serta  bersabar di atas karenah musuh , namun begitu kita pula  tidak diajar membiarkan Islam serta penganutnya diperlakukan sekehendak rasa  oleh pihak kuffar dan tali  barutnya. Sabda  Rasulullah saw:[4]

يَا أَيُّهَا النَّاسُ لا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلالِ السُّيُوفِ ثُمَّ قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ وَمُجْرِيَ السَّحَابِ وَهَازِمَ الأَحْزَابِ اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ * 

( رواه البخاري و مسلم )    

 Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu mengharapkan untuk bertemu dengan musuh dan pohonlah kesejahteraan kepada Allah. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bersabarlah dan ketahuilah kamu, sesungguhnya Syurga itu berada di bawah libasan pedang kamu. Selanjutnya Nabi s.a.w bangkit dan berdoa: Ya Allah! Engkaulah Yang menurukan kitab dan Yang menggerakkan awan dan Yang mengalahkan pasukan yang bersekutu, hancurkanlah mereka dan berikanlah kemenangan kepada kami *

Implikasi seorang penakut

Rasa takut yang  menyelubungi  diri seorang pejuang hanyalah merupakan perangkap  syaithan  untuk menggagalkan hasrat  perjuangan yang suci ini. Malang  bagi sebuah wadah yang memperjuangkan  perlaksanaan syariat , keadilan dan hak asasi manusia , kiranya ia memiliki senarai pejuang yang penakut dan hanya  mementingkan diri sendiri  .

Rasa takut melahirkan seorang pejuang berjiwa  hamba yang  tak mungkin bernafas  panjang untuk mengharungi badai memburu kemenangan. Mereka pasti mengaku  kalah  sebelum bertempur dan mereka  mudah dibeli oleh pihak musuh demi menyelamatkan diri mereka.

Rasa takut ini juga  mengakibatkan seorang  pejuang tidak  tenteram  dan selesa berjuang. Kedudukan ini sangat mengganggu potensi dan kualiti tugasnya.Benarlah kata  hukama’ :

لا نَامَتْ  أَعْيُنُ الجُبَنَاءِ

“ Tidak lena tidur mata orang penakut ”

Perjuangan ini memerlukan keberanian dalam menghadapi cabaran dan rintangan . Justeru itulah slogan الموت في سبيل الله أسمى أمانينا  menjadi slogan rasmi bagi perjuangan kita. Sebaik sahaja nama didaftar sebagai ahli / pejuang , kita dituntut sedia untuk berkorban  harta , masa , tenaga , darah dan nyawa demi perjuangan.

Penutup

Kemenangan  menjadi impian setiap individu yang berjuang. Namun ia  tidak semudah ungkapan di hujung bibir. Kemenangan mesti dibeli dengan harga yang sangat  mahal dan ia adalah kuniaan Ilahi kepada mereka  yang layak.

Terpaksa  ke mahkamah  ,  dibuang daerah , tangkap tanpa  bicara ( ISA ) ,  difitnah bertali  arus , seksa dan bunuh adalah asam garam bagi perjuangan kita. Tatkala kita memilih untuk bersama dengan BA , tentunya kita telah mengenal pasti risiko yang  bakal dihadapi.

Lantaran itu  , kita mesti  meneruskan perjuangan ini dengan sabar , tabah , tenang ,  berani dan istiqamah. Biarpun UMNO / BN melipat gandakan tindakan kejam dan dholim mereka untuk menghalang  kebangkitan rakyat. Hadapilah segalanya dengan keutuhan tawakkalkepada Allah swt.

وَلا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنْ اللَّهِ مَا لا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

( النساء  104 )

Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.



[1]    Sebagaimana yang ditegaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim : Jika takut pada risiko usah bicara  soal perjuangan.

[2]    Sekalong  tahniah kepada YB. Mahfoz Omar Ketua DPPP , naibnya  Salahuddin  Ayyub dan Pak Cik Amjal yang sanggup memilih penjara daripada akur dan membayar wang kepada kerajaan BN apabila dianggap bersalah kerana membantah kemasukan pasukan kriket Yahudi ke negara kita seketika  dahulu . Sikap  yang  diambil oleh  mereka telah menghapuskan sel phobia (takut kepada penjara ) dikalangan  masyarakat umum dan  sebahagian  pejuang untuk meneruskan perjuangan sehingga Islam  tertegak di tanahair  kita. Semangat mereka  mengingatkan kita kepada sikap  Nabi Allah Yusuf yang  memilih penjara daripada akur kepada konspirasi jahat  pihak istana.

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ   -  Surah Yusuf ayat : 33

[3]  Tidak takut / gentar kepada celaan orang yang mencela menjadi salah satu prinsip seorang pejuang yang telah digariskan oleh Allah swt. Justeru itu , kita sebagai aktivis / pejuang BA , dengan berbekalkan  keyakinan , semangat  dan kefahaman  untuk menobatkan syariat Allah di atas tanahair ini mestilah berjiwa  besar dan berani . Pedulikan ugutan , ancaman ,  tuduhan , fitnah , cercaan , kedholiman dan kekejaman  yang dilakukan oleh UMNO / BN terhadap kita. 

Jangan terkesan , mengaku kalah dan lemah semangat menghadapi mehnah / ibtila’ tersebut , kerana inilah yang diinginkan oleh BN tatkala mereka menyerang kita bertali arus . Sebaliknya kita  menegaskan  bahawa apa yang dilakukan oleh  BN hanyalah seperti anjing liar  menyalak gunung . Sudah pasti gunung tak kan terjejas dek salakan sang anjing liar  kendatipun ia menyalak sejak dulu , kini  dan selamanya .

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ   -Surah As Saff ayat 8

“ Mereka mahu memadam  cahaya Allah dengan mulut – mulut mereka sedang Allah mahu menerangkan cahayanya walaupun ianya  sangat dibenci oleh orang-orang kafir  .”

 [4]  Kitabul Jihad dan  strateginya . Bab Makruh meminta untuk bertemu dengan musuh dan perintah supaya bersabar ketika bertemu dengannya.

Sumber


AdyanaNur
22 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa




No comments:

Post a Comment

KakiBlog