Thursday, October 30, 2014

Throwback KUSZA 1

Bismillah 
Assalamu'alaikum

Tengah belek album gambar lama dalam VCD, banyak-banyak gambar, gambar ini antara yang menarik.


Gambar ni berada dalam folder "Nak Balik Raya Cina" saya pun ingat-ingat lupa. Yang saya ingat sebelum balik kampung, saya teman mereka berdua ini menyiapkan urusan mengisi borang UPU. Pulun isi, akhirnya kami bertiga ke Mesir juga akhirnya.
:)
Intan dan Fadhilah mesti tak de simpan gambar ni. Farhana yang ambil gambar ni, hp beliau paling canggih la zaman tu.
Gambar pada 11 Februari 2007 jam 1:20 pm

#Miss the good old days <3


AdyanaNur
6 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa




Tuesday, October 28, 2014

So Soon

Bismillah
Assalamu'alaikum

Air mata tumpah lagi ketika menerima sekeping gambar arwah yang tenang.... Cuba menenangkan diri, ketika itu saya di sebuah surau di sebuah restoran di Tanah Merah. Dalam perjalanan ke program Dun Gual Ipoh.

Tiba di rumah petang, saya terus membuka laptop untuk menyiapkan sekeping surat untuk email. Laptop terus memainkan lagu ni, So Soon, sudah 2 minggu saya memasang lagu ini tanpa henti. Berulang. Jika laptop tidak mengaji, lagu inilah yang bunyi.

Menangis lagi, teringatkan Ucu!
Saya cuba bertahan jika saya menceritakan tentang Ucu kepada orang lain. Tapi saya kalah bila saya sendirian.





Every time I close my eyes I see you in front of me
Tiap kali kupejamkan mata, kulihat kau di hadapanku

I still can hear your voice calling out my name
Masih terngiang suaramu yang memanggil namaku

And I remember all the stories you told me
Dan aku ingat kisah-kisah yang kau ceritakan padaku

I miss the time you were around
Kurindukan saat kau di dekatku

But I'm so grateful for every moment I spent with you
Tapi aku sangat bersyukur atas semua waktu yang kulewatkan bersamamu

'Cause I know life won't last forever
Kerana kutahu hidup tidaklah abadi

You went so soon, so soon
Kau pergi begitu cepat, begitu cepat

You left so soon, so soon
Kau pergi begitu cepat, begitu cepat

I have to move on 'cause I know it's been too long
Aku harus lanjutkan hidup kerana aku tahu sudah terlalu lama

I've got to stop the tears, keep my faith and be strong
Aku harus hentikan tetesan air mata, tetap percaya dan kuat

I'll try to take it all, even though it's so hard
Kan kucuba tuk menerimanya, meskipun sangat berat

I see you in my dreams but when I wake up you are gone
Kulihat kau di mimpiku tapi saat kuterjaga kau tiada

Gone so soon
Pergi begitu cepat

Night and day, I still feel you are close to me
Siang dan malam, aku masih merasa kau dekat denganku

And I remember you in every prayer that I make
Dan kuingat dirimu di setiap doa yang kupanjatkan

Every single day may you be shaded by His mercy
Setiap hari semoga kau dalam naungan rahmat-Nya

But life is not the same, and it will never be the same
Tapi kini hidup tak sama, dan takkan pernah sama lagi

But I'm so thankful for every memory I shared with you
Tapi aku sangat bersyukur atas tiap kenangan yang kubagi bersamamu

'Cause I know this life is not forever
Kerana kutahu hidup ini tidak abadi

There were days when I had no strength to go on
Ada hari-hari di mana aku tak punya kekuatan tuk bertahan

I felt so weak and I just couldn't help asking: "Why?"
Aku merasa begitu lemah dan aku terus bertanya: "kenapa?"

But I got through all the pain when I truly accepted
Tapi kulewati semua sakit ini saat aku benar-benar menerima

That to God we all belong, and to Him we'll return, ooh
Bahwa kita semua milik Tuhan, kan kembali kepada-Nya



Pusara Nor Hafidzah binti Rozali


AdyanaNur
5 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa




Monday, October 27, 2014

Perginya Seorang Sahabat

Bismillah
Assalamu'alaikum

إنا لله وإنا إليه راجعون



Al-Fatihah buat sahabat saya, Ukhti Nor Hafidzah bt Rozali, meninggal dunia seawal pagi 27 Oktober 2014 di Kuala Terengganu. Meninggal dunia akibat pendarahan dalaman / dalam perut. Beliau sedang mengandung anak kedua dan sudah hampir dengan kelahiran. Saya berpagi dengan berita ini. Tidak percaya. Sehingga saya baca lagi perbualan beberapa sahabat di telegram. Menangis, berhenti menangis, menangis lagi. Allahu. Sangat mengejutkan.


Dari kanan; Anjang Kayah, Kak Pae, Adik Syikin, UCU FID, Aishah
ketika mereka konvo KUSZA tahun 2007 by kamera Canonku.


Teringat sangat dia. Saya mengenali Allahyarhamah ketika sama-sama belajar di KUSZA. Allahyarhamah senior setahun saya.Terengganu asli. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan 4 tahun.Saya panggil Allahyarhamah, Ucu. Dialah sahabat dialah naqibah saya. Seorang anak dan sahabat yang baik, lembut, jaga solat jemaah, sentiasa sebut nak mati dalam perjuangan, sangat jaga ukhuwah dengan sahabat dan sangat pentingkan keluarga dengan aboh dan ummi. Sangat komited dengan jemaah. Juruh, jaga perasaan kawan.Bibir tak pernah lekang istighfar dan selawat.


Gambar keluarga yang dikirimkan melalui Telegram.



Kami berbual di telegram, Ucu ada beritahu dia akan pulang ke Terengganu (dari Johor @ Melaka, saya lupa) dan akan bersalin dan berpantang di Terengganu, Ucu sempat minta maaf kepada semua dan menyatakan perasaan takut untuk bersalin. Kami mendoakan beliau agar semuanya dipermudahkan. Sehinggalah kami mendapat berita mengejutkan ini.


لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۚ إِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَلَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ 
[Surat Yunus : 49]

 Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya). 




Ucu, semoga Allah pertemukan kita di syurga nanti... semoga syahid jalanmu semoga jannah tempat istirehatmu...Pergi sudah jiwa yang tenang...

كفى بالموت واعظاً
Cukuplah mati itu sebagai peringatan

      اللهم اختم لنا ياالله بحسن الخاتمة ولا تختم علينا ياالله بسوء الخاتمة 
 Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik, dan Jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.


AdyanaNur
3 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa


Keep Calm and Write Something

Bismillah
Assalamu'alaikum


Akhirnya hampir berjaya saya menulis satu hari satu entri. Cuba-cuba jah sebenarnya, di samping memindahkan post facebook ke sini. Blog ini tak serius, sekadar berkongsi pengalaman dan bacaan. Itu sebab saya tidak menyebar luaskan blog ni.

So Keep Calm and Write Something.


"Manusia itu seperti pensil. Setiap saat ia dimakan oleh rautan umur agar dapat menulis dengan ketajaman hikmah. Hingga tiba saatnya pensil itu habis, dan hanya tersisa tulisan amalnya yang ada."



AdyanaNur
3 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa

Sunday, October 26, 2014

Perancangan Tahun Baru 1436

Bismillah
Assalamu'alaikum

Perancangan Tahun Baru 1436 yang dikongsi dari page Mustafa Hosny yang saya gunakan sebagai salah satu pengisian Nisa' Circle semalam. Penyampaian semalam tidak sedetail maklumat di bawah, sekadar yang faham dan nampak.



Perancangan Tahun Baru 1436

1) Perbaharui Niat
Rasulullah bersabda "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan."

2) Solat Sunat & Rawatib
-Solat dhuha (Saya tambah)
-Subuh (Sebelum)
-Zohor (Sebelum & Selepas)
-Asar 
-Maghrib (Selepas)
-Isyak (Selepas)

3) Baca Al-Quran
-Menambah wirid harian
-Khatam Al-Quran setiap sebulan
-Tadabbur makna ayat

4) Puasa Sunat
-Isnin dan Khamis setiap minggu
-Hari 13,14,15 setiap bulan hijrah
-Hari Asyura', 6 hari bulan Syawal, Hari Arafah

5)Tulis matlamatmu
-Rujuk balik matlamat / azam tahun lalu
-Menetapkan ikut keutamaan

6) Sebarkan Optimis
-Senyum sokmo
-Dakwah / Menyeru pada kebaikan
-Menjauhkan fikiran negatif

7) Menjauhi fitnah
-Perangi fitnah
-Jauhi penyebaran khabar angin
-Dakwah / Menyeru pada kebaikan

8) Sukarela 
-Ziarah anak yatim dan warga tua
-Menyertai kerja-kerja kebajikan

9) Belajar sesuatu yang baru
Rasulullah bersabda "Barang siapa menempuh jalan (berjalan) untuk menuntut ilmu maka Allah memberinya kemudahan untuk masuk ke dalam syurga."

10) Menguruskan waktu
-Letakkan perancangan mingguan
-Rujuk tugas harian

Alhamdulillah dapat share dalam group whats app Nisa' Circle.Semoga Allah sentiasa membimbing kita dalam kerja buat kita. Sebenarnya bukan itu sahaja yang perlu ambil perhatian.Banyak lagi. Itulah, Al-Wajibaat Akthar Minal Awqot.



AdyanaNur
2 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa





Saturday, October 25, 2014

Nisa' Circle Hijrah

Bismillah
Assalamu'alaikum

Sudah menjadi rutin Sabtu keempat setiap bulan, saya dan team UPI Nisa' Kelantan akan mengaturkan satu pertemuan dengan ahli Nisa' untuk sharing moment. Tahun ini sudah lapan kali, termasuk hari ini. Alhamdulillah, sebagaimana sudah maklum, saya mempunyai team work yang saaangat osem.

Tema Nisa' Circle kali ini, Nisa' Circle Hijrah, sempena 1 Muharam 1436 hari ini. Kehadiran hari ini sebenarnya kurang memberangsangkan. Tapi Allah hadirkan saya mereka yang hadir hari ini insan-insan yang solehah dan osem. Kali ni saya rasa agak jijok untuk sampaikan pengisian. Boleh eye contact seorang demi seorang. Sebelum ni, 30 orang peserta Nisa' Circle tak dapat lah.


Okey, untuk NC ni, buat pertama kalinya, saya melaksanakan konsep taakhi seperti yang dilakukan Rasulullah saw selepas penghijrahan Rasulullah ke Yathrib (Madinah). Sebenarnya sudah lama saya nak buat konsep ini, sebelum NC pertama dulu lagi. Tapi entah macam mana saya lupa. Dan Allah ilhamkan balik kepada saya, ketika saya study balik sirah hijrah Rasulullah untuk pengisian hari ini. Tetiba teringat adik-adik yang dah ramai hadir NC sebelum ini, mereka belum ditaakhikan.

TBC

AdyanaNur
2 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa

Hijrah 1436

Bismillah
Assalamu'alaikum

Esok ada Nisa' Circle. Setiap kali Nisa' Circle, malam sebelum sampai pagi untuk NC tu, selalulah saya tidak dapat melelapkan mata. Mulalah itu tak siap, ini tak siap. Paling lucu, idea pelik-pelik konon kreatif akan ttubik  ketika ini. Saya akan ganti tidur setelah balik dari NC, itupun kalau tiada program lain.


Biasanya saya lebih berdebar pengisian yang saya sendiri kena handle dan slot Who Wants To Be a Daei. Seperti juga malam ini, saya lebih memikirkan banyak perkara, kehadiran, pengisian samada saya sendiri atau pengisian last yang menggantikan Wwtbad. Alhamdulillah :) Allah sentiasa hadirkan ilham.

Ketika tengah mencari bahan untuk tips tahun baru hijrah tadi, saya tertarik dengan post page facebook Mustafa Hosny. Perancangan Tahun Baru 1436.



Peristiwa Hijrah Nabi


Ok, selain saya boleh share hijrah Rasulullah saw, saya boleh share perancangan tahun baru. Yang belum siap sekarang adalah, name tag, handout hadith. Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan urusan esok, eh hari ini. Berbaki beberapa jam sahaja lagi. Kali pertama saya tanpa Fadhilah di sisi menguruskan NC. Semoga dipermudahkan esok dengan kemudahan yang ada.

#Tulisan yang ditaip di note dan diubah mengikut kesesuaian.

AdyanaNur

1 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa




Thursday, October 23, 2014

Pedang Damascus | Victorinox

Bismillah
Assalamua'alaikum

Pada hari-hari persiapan adik saya ketiga (anak keenam daripada tujuh beradik) untuk ke ipta, UiTM Puncak Alam. Beliau mencari pisau kesayangan, pisau Victorinox. Mencari dengan bising. Akhirnya tak jumpa. Pergilah UiTM tanpa pisau itu. Pisau itu dimiliki kerana beliau mahasiswa bidang Perkhidmatan Makanan (Food Service).

Walaupun begitu, usaha mencari diteruskan. Cari sambil-sambil buat kerja di dapur. Saya tetiba rasa, saya pengguna terakhir pisau tu :D Tapi saya benar-benar lupa di mana selepas itu. Memang pisau tu tajam dan tajamlah pisau tu. Nak sebut nama pun, VICTORINOX. Dipendekkan cerita, pisau itu dijumpai oleh Ma di tingkat bawah rumah, di luar rumah, agaknya terjatuh melalui tingkap. Ma pun dengan excited kisahkan bagaimana boleh jumpa. Alhamdulillah selesai.


Pisau Victorinox Faizah


Pada Eid Adha yang lepas, terbaca status di facebook. Status tersebut; lebih kurang bermaksud; 
"Pisau victorinox ni buatan Switzerland. Orang barat kaji logam itu antara yang menjadi senjata perang yang diguna pakai oleh tentera Islam dalam peperangan salib."

Saya teringatkan Faizah, jadi saya hanya share status tersebut di group facebook family. Beliau teruja mahu beli banyak lagi pisau mahal tu.

Info yang baru dapat dari status itu membuat saya sentiasa berfikir dan berfikirlah. Kenapalah selama ni, takde jumpa fakta tentang senjata / besi yang digunakan semasa perang Salib itu merupakan satu faktor kemenangan dan barat mengkaji tentang logam itu. Sebab kurang membaca! Okey. 


Atlas Perang Salib | Merungkap Peristiwa Berdarah Abad Pertengahan


Saya cuba mencari lagi maklumat tentang besi pisau ini, rujuk buku Atlas Perang Salib, tak jumpa. Cuba google guna perkataan Victorinox, Army, Crusades, Sword, Pedang, Pisau, Iron. Beberapa laman yang saya jumpa yang membantu pencarian saya. 

Rupa-rupanya, pedang yang digunakan semasa Perang Salib namanya Pedang Damascus. Berdasarkan catatan sejarah, pedang Damascus ini merupakan senjata utama yang digunakan oleh tentera Islam ketika Perang Salib Ke-3 sekitar penghujung kurun ke-12. Salahuddin Al-Ayubi merupakan pemimpin tentera Islam ketika itu yang berjaya membebaskan kota Jerusalem daripada cengkaman puak salib selama hampir seratus tahun lamanya. Salah satu sebab kekalahan tentera Eropah ketika pertempuran itu ialah pasukan tentera Islam dilengkapi dengan pedang yang mampu membelah dan menembus baju besi crusader dengan sekali libasan, memotong dua pedang lawan, membelah perisai  dan batu tanpa mengalami kerosakan pada matanya iaitu Pedang Damascus. Pedang yang diakui paling tajam di dunia oleh pakar pembuatan pedang barat. Subhanallah hebat! 


Pedang Damascus 

Profesor Dr. Peter Paufler dan pasukan penyelidiknya dari University Teknikal Dresden, Jerman telah menemui tiub karbon nano di dalam pedang yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayubi dan tentera-tentera Islam dalam Perang Salib. Menurutnya , kunci kepada teknologi nano pedang ini terletak pada teknik pembuatanya yang unik. Bijih besi dari India yang dikenali sebagai wootz mengandungi sejumlah peratus unsur karbon yang memberikan sifat rapuh. Apabila dikenakan suhu yang amat tinggi sekitar 800 darjah Celcius, campuran besi dan karbon tadi akan ditambah dengan unsur-unsur seperti Kromium, Mangan, Kobalt dan beberapa unsur lain yang telah memberikannya sifat-sifat sebilah pedang setiawan, yakni tajam dan lentur.

Teknik pembuatan pedang ini begitu rahsia sehinggakan hanya beberapa keluarga tukang besi di Damsyik saja yang menguasainya. Akhirnya pada kurun ke-18, teknologi pembuatan pedang ini telah pupus. Apa yang tinggal hanyalah pedang-pedang, tombak dan pisau yang kini tersebar di pelbagai muzium di seluruh dunia. 

Baru saya tahu. Kita lebih mengagungkan peralatan, produk buatan barat. Sedangkan umat Islam sebagai pelopor. Lalu apa yang kita manfaatkan sumbangan generasi terdahulu? Menangisi atau menginsafi tak cukup. Bukan nak minta buat pedang pun. Zaman sekarang, barat pun tidak menyerang kita (Situasi di Malaysia) dengan pedang. Mereka menyerang kita secara halus. 

“Musuh-musuh Islam sentiasa mencari dan mengintai peluang, jika ada
kesempatan dan ruang untuk merosakkan umat Islam…”
-Syeikh Dr Yusuf Qaradawi, Kewajipan Pemuda Muslim Hari Ini

Saya menutup entri ini dengan ucapan Raja Louis ke 9 di hadapan tentera Salibiyah selepas dibebaskan dari penjara Dar Ibnu Luqman, Mansurah Mesir, katanya:

إذا أردتم أن تهزموا المسلمين فلا تقاتلوهم بالسلاح وحدة فقد هزمتم في معركة السلاح ولكن حاربوهم في عقيدتهم

Maksudnya: Jika kamu ingin menewaskan orang-orang Islam maka jangan perangi mereka dengan senjata semata-mata, telah terbukti kamu tewas, akan tetapi tumpukanlah serangan kamu terhadap aqidah mereka.

Sumber Sejarah Victorinox Swiss Army , Sejarah Pedang Paling Tajam Di Muka Bumi dan SERIUS : Pedang Damascus, Pedang Paling Tajam Di Dunia

#Just sharing!
#Entri yang tertangguh seminggu lebih.


Tuesday, October 21, 2014

Tahniah!

Bismillah
Assalamu'alaikum

Menerima khabar dari Perlembahan Nil, hari ini KPKM meneruskan muktamar hari kedua. Saya pun lupa dua hari muktamar. Ada usul tergempar katanya.Tentang pendidikan. Beliau ingin bahas usul tersebut. Sesuailah, mantan Ketua Pendidikan HEWI. Kami berbual beberapa isu. Dipendekkan cerita tiba-tiba beliau mengirim gambar ini. Allahu, seperti sejuk perut ibu mengandung, seperti itulah saya rasa bahagia dengan beliau yang kami sama-sama asuh dulu.
 Tahniah Ateh!
Beliau mencelah, "Tahun lepas Ayuni Perwakilan Terbaik"
:)
Alhamdulillah.

Panjang lagi cerita..mahu siapkan kertas kerja ;)





Program I Want To Touch a Dog.

Bismillah
Assalamu'alaikum

Isu pegang anjing yang menjadi viral di facebook dan heboh di internet sehari dua ini bukan sekadar dibincangkan dari sudut hukum fiqh sahaja, tetapi lebih dari itu terutama yang menjadi masalah dengan adat dan tradisi orang melayu. Kalau di Mesir mazhab melonggarkan, tapi lain pula kita di Malaysia yang majoriti Melayu Islam yang agak canggung dengan anjing. Tulisan di bawah ini saya terima dari whats app, tak tahu siapa penulisnya.


Sumber gambar : FB Ikim.Fm

KEJAHILAN PROGRAM 'I WANT TO TOUCH A DOG'

I want to touch a dog. Sebuah program yang dilaksanakan oleh mereka yang jahil agama. Jahil ilmu fiqh mazhab Syafie. Jahil ilmu 'uruf. Jahil ilmu fitnah khilafatul 'uruf. Jahil ilmu fiqh Aulawiyat. Dan segala kejahilan yang terkandung di dalamnya.
Program yang mampu mencipta fitnah (kekacauan dan kekeliruan) di kalangan orang awam yang kurang ilmu fiqh. Contoh fitnahnya, akan wujud mereka yang ingin sesuka hati menyentuh dan membelai anjing tanpa sebab, akan wujud mereka yang berniat untuk membela anjing sebagai haiwan dalam rumah untuk bermanja (asalkan boleh sertu lepas pegang, kononnya), dan bermacam fitnah lagi.

Kita menghormati pendapat mazhab lain yang menyatakan tubuh anjing bukan najis jika tiada didapati najis mughallazah (air liur dan tahi) pada tubuhnya. Namun kita juga harus menghormati pegangan 'uruf masyarakat setempat di mana Malaysia berpegang pada pendapat mazhab Syafie. Bila anda ada di rumah orang, anda tak boleh buat rumah dia macam rumah sendiri, tak gitu? Walaupun tuan rumah tu hormati perilaku dan perbuatan anda, namun tak bermakna dia redha anda melakukannya di dalam rumahnya.

Di sini saya menjelaskan kembali hukum mengenai anjing. Program bodoh itu telah melanggar dua point yang saya berikan di bawah, iaitu point pertama dan kedua:
Hukum menyentuh anjing

1. Memang wujud khilaf di kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Secara ringkasnya, dalam mazhab Syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah (Imam Nawawi, Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini), selain mazhab Syafie (yakni mazhab Hanbali, Maliki, Hanafi) menyatakan hanya air liurnya sahaja najis. Ini berdasarkan hadis:
“Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.”
[Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Jadi, hukum menyentuh anjing memang ada khilaf. Yang pasti, haram SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis keatas tubuh kita. Jadi, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita basah/lembap/berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.
Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab Syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya.

**Dalam program tersebut, adakah peserta dan trainer yakin sepenuh jiwa anjing tersebut tidak menjilat tubuhnya? Dan adakah semua mereka yakin benar anjing atau tangan mereka dalam keadaan kering? Jika tak yakin, bodoh namanya. Jika pegang pada "alaaa.. lepas pegang boleh sertu (samak ikut sesetengah pemahaman orang)", ikut hukum fiqh, sengaja meletakkan diri dalam keadaan menyusahkan juga dibenci agama.

Hukum membela anjing
2. Namun tiada khilaf dan telah ijmak (sepakat) antara semua ulama-ulama muktabar muttaqaddimin dan mutaakhirin bahawa, tidak dibenarkan seorang Islam untuk membela anjing menjadi haiwan belaan, sebagaimana kita bela kucing, yang kita peluk, cium, belai dan sebagainya, KECUALI membela atas 5 sebab yang dibenarkan, iaitu:
i. Untuk menjaga harta
ii. Untuk menjaga tanaman
iii. Untuk menjaga ternakan
iv. Sebagai anjing untuk memburu
v. Menjaga keselamatan keluarga

"Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath." [Hadis Muttafaq 'Alaih]
Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya."
[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

Juga daripada Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."
[riwayat Muslim no. 1571]

"Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan (harta/keluarga/diri/ternakan/ternakan), maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari"
[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar" [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Syaratnya:
1) HARAM bela anjing di dalam rumah
2) WAJIB beri makan minumnya
3) HARAM mendera atau mencederakannya
4) HANYA atas 5 sebab di atas sahaja

**Peserta-peserta program tu dah peluk, sentuh, belai anjing. Adakah ia dibenarkan? Tidak sama sekali.

3. Walaubagaimanapun, anjing tetap bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, dibunuh sewenangnya, dipukul, diseksa atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia tetap makhluk Allah. Telah ada hadis panjang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, yang memberi anjing minum, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tu takde pun kata si pemberi minum tu peluk cium belai anjing tu. Cukup sekadar memberi keperluan kepada anjing kita dah dapat pahala.


Rujukan:
Halal wa Haram fi al-Islam (Prof Dr Yusof al-Qaradhawi)
Mughni Al-Muhtaj (Imam Nawawi)
Haza Halal wa Haza Haram (Abdul Qadir Ahmad 'Ata)

Copy Paste dari group Whats App.



Monday, October 20, 2014

Radio Al-Quran

Bismillah
Assalamua'alaikum.

Sejak si putih saya masuk hospital, saya jarang mendengar Radio Al-Quran dari Kaherah. Tambah lagi bila saya buka link yang saya bookmark, tiada dalam talian. Sehari demi sehari. Lamaa sikit bila dah rindu sangat nak dengar, minggu lepas saya merajinkan diri untuk google. Maka jumpalah link ini http://www.ertu.org/quran/QuranKareem.html sebelum ni pun, web ERTU juga, tapi tak dapat, dan kali ini tidak memerlukan software Real Player, Window Movie Player apa-apa lagi tu, hanya buka link tu, terus dapat dengar.

Allah terubat rasanya. Ada dekat setengah tahun tak dengar. Ramadhan lepas cari, tapi tak usaha cari :p ruuuuggiiii rasanya terlepas Ramadhan baru ni :'(

Saya  pernah berseloroh, masa tu dalam tramco nak balik Mansurah, "Nanti kan nak rakam yang Dj tu sebut إذاعة القرآن الكريم  من القاهرة , kemudian nak set ringtone bila balik Malaysia".
Sahabat saya tergelak dengan saya sekali raso nok ssuko. Apabila balik Malaysia, perkara pertama saya cari link radio ni, nak cek line :p


                                  
البث المباشر لإذاعة القرآن الكريم من القاهرة

Siaran radio ini hampir seluruhnya bacaan Al-Quran, terdapat juga kuliah tafsir, fiqh ibadah, perundangan. Pernah juga saya mendengar radio ni buat liputan sekiranya ada seminar, simposium dan persidangan dalam Mesir dan luar Mesir yang berkaitan dengan Al-Quran, sejarah Islam, peradaban Islam. Pada bulan Ramadhan ada siaran langsung solat terawih.




Saturday, October 18, 2014

Kejohanan Bola Jaring Beliawanis Kelate 2014 PC

Bismillah
Assalamu'alaikum.

Hampir dua bulan mengatur perancangan untuk program Kejohanan Bola Jaring Beliawanis Kelate 2014 peringkat Parlimen Pengkalan Chepa. Program ini anjuran Urusetia Belia dan Sukan dengan kerjasama Nisa' Kelantan yang diturunkan kepada  Nisa' kawasan untuk mengadakan program ini.  Kali ini merupakan kumpulan kedua yang bertanding hari ini. Kumpulan pertama pada 27 September yang lepas, kumpulan kedua hari ini manakala kumpulan ketiga 25 Oktober akan datang.



Hari ini seharian bersama sahabat-sahabat Nisa' Pengkalan Chepa bertumbas di KB Arena Futsal di Kawasan Perindustrian Padang Tembak. Saya ditugaskan di bahagian pendaftaran, tugas sejak zaman berzaman. 12 pasukan semua berdaftar untuk bertanding hari ini. Program hari ini memberi pengalaman kepada kami semua, memandangkan urusetia tidak ada latarbelakang bermain bola jaring. Saya pernah bermain bola jaring sekali, pada tahun 1997 dan kali terakhir pun yang itulah. Mungkin saya dulu lebih fokus sukan bola tampar.


Okey, saya ada satu cerita yang sering diulang tayang hari ini, iaitu berkenaan pakaian ketika bersukan atau dengan bahasa mudah aurat ketika bersukan. Syarat-syarat kejohanan telah menetapkan, perkara keenam berkenaan pakaian seragam point 12.1 "Semua pasukan hendaklah memakai pakaian yang lengkap menutup aurat iaitu tshirt berlengan panjang, seluar track panjang, stoking dan kasut sukan." Ya sangat jelas peraturan itu.  Tapi sebaliknya berlaku ada beberapa kumpulan yang tidak menepati syarat-syarat ini. Syarat ini telah diulang beberapa kali sehingga kali terakhir ketika taklimat sehari sebelum program.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Bersukan adalah tujuan yang sangat baik iaitu untuk meningkatkan jasmani seseorang. Tetapi perlu diingatkan bahawa bersukan  juga boleh menjadi tidak baik bila mana kita tidak menjaga batas-batasnya seperti tidak menutup aurat, bercampur dengan lelaki dan perempuan dan sebagainnya. Aurat perlulah dijaga dan ditutup rapi seiring dengan kehendak syara’ ketika sedang beraktiviti baik lelaki mahupun wanita.Alasan menutup[ aurat menyukarkan pegerakan yang aktif ketika bersukan adalah alasan yang lapuk yang sengaja dicanangkan pihak musuh Islam. Apa pun menutup aurat itu wajib, walau apa pun.Aurat bagi seorang wanita Islam adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan.

Dr. 'Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daaghi, Ketua Jabatan Usul Fiqh, Fakulti Syariah, Universiti Qatar menambah:

"Tidak dapat disangkal lagi bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira. Syarat-syarat tersebut adalah:

1) Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian kaum lelaki.

2) Wanita dilarang mendedahkan aurat mereka.

3)Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan."


Rujukan di sini

Sangat sukar sebenarnya untuk berhadapan dengan situasi ini. Jika kita meraikan, apa beza kita dengan orang lain. Saya berpendapat mula-mula kita perlu bersangka baik kepada golongan yang tidak menutup aurat ini dengan mengatakan bahawa mereka tidak mendapat pengetahuan tentang batasan aurat atau tidak diajar tentang aurat TETAPI bukan bersangka baik saja-saja, kita KENA menerangkan kepada mereka SAMPAI FAHAM bahawa kalau berpakaian menutup aurat adalah lebih sopan dan selamat daripada pakaian yang tidak menutup aurat.  Contohnya ketika bola terkena kepala, terjatuh, mungkin sakit kurang berbanding dengan yang jatuh tetapi kepala tidak memakai tudung. Seperti peraturan memakai topi keledar.

Ataupun boleh dikatakan kepadanya juga dengan bahawa jikalau puan mahu menyertai  pertandingan ini, maka puan mestilah memakai pakaian yang menutup aurat. Kalau pakaian yang tidak menutup aurat, penyertaan puan dibatalkan.Tindakan yang sangat tegas.Atau sebelum program bagi kefahaman yang betul tentang pakaian menutup aurat, wacanakan ke, bagi pamplet aurat UPWK. Seingat saya ketika di MMP kami bersukan dengan pakai baju kurung uniform sekolah dan tudung labuh tudung sekolah dan pakai seluar trek.Berhujan dan berpanasan.Sekarang zaman dah maju, ada tshirt muslimah yang labuh menggantikan baju kurung.

Kita kena ingat  satu perkara bahawa dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Kalau cara tidak bertepatan dengan syariat Islam walaupun matlamat yang ingin dicapai adalah baik, maka usahanya itu menjadi tidak baik.Apa pun menutup aurat itu wajib, walau apa pun. Aurat bagi seorang wanita Islam adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan.



Friday, October 17, 2014

Alf alf Khansa'


Bismillah
Assalamu'alaikum


Terkesan. Kami tidak sekental Khansa' mu :'(


Jika penjajah yahudi menghalang lelaki mukmin untuk masuk Masjid Al-Aqsa, maka di Baitul Maqdis kami memiliki ribuan wanita pejuang (Khansa'). Mereka, sungguh, jauh lebih baik daripada ribuan lelaki yang bisu saat ini; saat Al-Aqsa dinodai yahudi zionis.

#Labbayka_Ya_Aqsa

@adham922



Selamat Hari Lahir Acu Jawahir


Bismillah.
Assalamualaikum.

In this pic Jawahir Harun, miss her so much!

Selamat hari lahir Acu semoga bahagia dan tenang hidup di dunia sehingga akhirat, keluarga mawaddah anak -anak yang menjadi penyejuk mata.

Beliau sahabat yang banyak memberi sokongan dorongan berkongsi air mata terutama ketika syahadah asliah tak sempat siap dan sama-sama tak najah :p 

Bertuahnya mempunyai teman yang baik.

‘alangkah sulitnya mencari sahabat sejati,”kata seorang teman
“tak temukan walau telah kujelajahi bumi,negeri demi negeri” 
Aku tersenyum menepuk pundaknya
“mungkin itu sebab yang kau cari adalah sahabat untuk memberi

Adapun sahabat untuk diberi bertebaran diseluruh penjuru bumi”
-Dalam Dekapan Ukhuwah/ Salim A Fillah


رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
 [Surat Al-Hashr : 10]

"Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".

Lamanya tak jumpa Acu, sejak 13 Januari 2012. Berpisah di KLIA.

Gambar ini saya rakamkan pada 29 November 2011, di belakang saya ada Kak Lang Akmaizan, ketika ini kami menunggu seorang lagi sahabat (Asiah kalau tak silap) untuk pulang ke Mansurah.


291111|0915|Akhr Mahattah, Hayyu Sabi'



KakiBlog