Tuesday, December 30, 2014

Hikmah Banjir 2014

Bismillah
Assalamualaikum

Firman Allah SWT di dalam surah al-Haqqah ayat 11-12: 
"Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran"

Saya ingin mencoretkan sesuatu di sini tentang banjir yang ditempuhi selama 5 hari yang lalu, tapi biarlah gambar berbicara dahulu..

















Tuesday, December 23, 2014

Hikmah Kisah-Kisah Dalam Al-Quran

Bismillah
Assalamualaikum.



Saya mendapatkan buku ini melalui seorang kenalan yang belajar di Mesir. Jujur saya tidak pernah tahu akan kewujudan buku ini. Saya teringat buku karangan Syeikh Dr Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk Ila Warathatul Anbiya wad Duat Ila Allah. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sama minat dengan buku. Saya bukanlah ulat buku, tapi saya suka untuk tahu isi buku supaya senang untuk buat rujukan.

Kisah kisah dalam Al Quran, adalah sebenar benarnya kisah yang terjadi dan merupakan kisah kisah terbaik. Di dalamnya mengandungi nilai sastera yang sangat tinggi, makna yang sempurna, serta sangat besar hikmah dan manfaatnya. Kisah kisah itu hadir dengan membawa pengaruhnya yang sangat kuat untuk memperbaik hati, amal dan akhlak. Sebagaimana ditunjukkan dalam firmanNya, “Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al Quran ini kepadamu “ (QS Yusuf : 3)

Banyak sekali hikmah di sebalik kisah-kisah di dalam al Quran tersebut, antaranya : Penjelasan tentang kebijaksanaan dan ke- Maha Adilan Allah. Penjelasan tentang kurnia Allah terhadap orang orang yang beriman. Hiburan bagi Nabi SAW atas penderitaan yang beliau alami karena gangguan orang orang yang mendustakan beliau. Motivasi bagi kaum mukminin agar istiqomah di atas keimanan, ancaman bagi orang orang kafir atas kekafirannya, dan sebagai bukti atas kebenaran risalah yang di bawa rasulullah SAW.

Dalam buku ini menampilkan kisah kisah para nabi dan rasul beserta kaumnya sejak Nabi adam AS , Nabi Nuh Ibrahim , dan para Nabi lainnya hingga kehidupan Nabi Rasulullah SAW, para sahabat dan kaum munafikin, kisah peperangan Rasulullah hingga kisah beliau wafat.Begitu juga beberapa individu atau kelompok terhadap berbagai peristiwa yang mereka alami, seperti kisah Luqman Hakim, Ashabul Qaryah, Dzul Qarnain, Qarun, Ashabul Kahfi, pasukan gajah, Ashabul Ukhdud, dan kisah-kisah lainnya. Penulis menggunakan sistem ayat dalam menyajikan kisah-kisahnya sehingga huraiannya tersusun dengan tetap menjaga keasliannya. Selain itu, pelajaran dan hikmah yang disajikan sebagai penutup setiap kisah memudahkan pembaca dalam mengambil suri tauladan yang ada sekaligus menjadi kekuatan hikmah dari buku ini.


AdyanaNur

Kampung Baung

Pengkalan Chepa



Wednesday, December 17, 2014

Syafakillah!

Bismillah 
Assalamualaikum

Lama saya tidak menulis. 
Bonda saya admit wad pada 24 November lepas. Bermula di Wad Dahlia kemudian ke Wad 9. Semuanya 17 hari ma di HRPZ. Sekarang ma sudah berehat di rumah.

Semoga Allah memberi kekuatan dan kesembuhan buat ma dan semoga kami adik-beradik dapat menjaga ma sebagaimana ma menjaga kami sedari kecil.

Jadual harian saya totaly berubah kerana dah jadi misi kepada ma ;)



AdyanaNur
25 Safar 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa





Saturday, November 22, 2014

Mentari Bersinar Kembali

Bismillah 
Assalamu'alaikum


Pemandangan daripada jendela bilik 


Alhamdulillah. Akhirnya pada hari Jumaat yang berkat ini matahari bersinar kembali setelah seminggu hujan tanpa henti dan kesejukan luar biasa, seperti sudah turun salji agaknya Pengkalan Chepa ini. Dan kesihatan diri bertambah baik dari demam sejak hari Isnin lepas. Masih bersisa batuk dan suara masih serak basah. Allahu Yashfi alhamdulillah.

Akibat jarang-jarang saya demam, jadi kadang-kadang itulah saya sentiasa lupa penawar kepada sakit. Saya bukan pengamal ubat seperti panadol dan pil-pil lain. Tambahan lagi ma pun tidak sihat, jadi tiada yang mengambil peduli sakit demam saya kali ini. Berdikari, siap kena jadi tukang masak lagi sejak ma tak sihat.

Selalunya kalau batuk ma pagi sesudu kicap dengan perahan limau nipis. Yang lucunya hari pertama sehingga keempat saya bertahan tanpa sebarang penawar. Hari Khamis baru saya ingat nak minum madu dengan perahan limau nipis. Allahu. Jadi pagi tadi panas dan letih badan dah terasa baik. Gembira tengok matahari. Cuma saya masih batuk-batuk. Apapun alhamdulillah, kerja saya banyak sangat menanti.

AdyanaNur
29 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa




Saturday, November 15, 2014

Pra Syarat Kemenangan Kita - Siri Keenam

Bismillah 
Assalamualaikum.

PRA SYARAT PERTAMA, KEDUA, KETIGA, KEEMPAT dan KELIMA



TIDAK  GENTAR TERHADAP  ANCAMAN  MUSUH

Sejurus pejuang menjejakkan kaki ke platform perjuangan untuk membasmi kejahilan , kedholiman , rasuah , korupsi dan 1001  jenis barah jahiliyyah yang  memusnahkan ummah ,  maka pejuang  tersebut mesti memiliki  ketahanan dan  keberanian yang tinggi untuk menyelesaikan visi dan misinya.

Sikap teragak – agak , acuh tak acuh , takut kepada  risiko dan tidak  berani menghadapi  kemungkinan – kemungkinan di pentas perjuangan hanyalah  menyebabkan seseorang  itu hilang kelayakkan  sebagai  seorang pejuang .[1]

Pejuang yang  memiliki iman berjenama tulen tidak akan tunduk dan akur kepada ancaman  , ugutan , tentangan dan halangan dari pihak musuh . Ia bersedia menghadapi  dan menerimanya dengan penyerahan / tawakkal yang bulat kepada Allah  tuhan yang Maha Perkasa .[2]

Prinsip seorang pejuang

Allah telah menggariskan  sifat  dan  prinsip yang mesti dimiliki oleh setiap pejuang dalam firmanNya :[3]

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَةَ  لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

( المآئدة  54 )

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Selebar mana empayar musuh ,  sehebat mana kekuatan musuh dan setinggi mana kekuasaan  musuh , kita  tidak perlu rasa  gentar dan terancam . Allah swt. telah  menegaskan :

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الإِسْلامَ دِينًا

( المآئدة  3 )

Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.

Sebagai seorang pejuang , kita sewajarnya membuang jauh  kebesaran makhluk (  rasa takut  kepada musuh ) justeru  iman  yang  ada  pada  kita mendidik supaya kita berjiwa besar dengan meletakkan ketuanan Allah swt .  di dalam jiwa  kita .

وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمْ الأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
  
( آل عمران  139 )

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang berdarjat tinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Kiranya rasa  takut  dan gentar terhadap ancaman musuh menyelubungi diri para  pejuang , ianya  sudah cukup membuatkan musuh  menang  sebelum  bertempur . Fenomena  ini sekali – kali tidak  dibenarkan  bertapak  dan menjalar dalam parti / jamaah kita.

Sememangnya kita tidak diajar bercita – cita mencari musuh sebaliknya dianjurkan supaya kita memelihara suasana  yang sejahtera dan aman serta  bersabar di atas karenah musuh , namun begitu kita pula  tidak diajar membiarkan Islam serta penganutnya diperlakukan sekehendak rasa  oleh pihak kuffar dan tali  barutnya. Sabda  Rasulullah saw:[4]

يَا أَيُّهَا النَّاسُ لا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلالِ السُّيُوفِ ثُمَّ قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ وَمُجْرِيَ السَّحَابِ وَهَازِمَ الأَحْزَابِ اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ * 

( رواه البخاري و مسلم )    

 Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu mengharapkan untuk bertemu dengan musuh dan pohonlah kesejahteraan kepada Allah. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bersabarlah dan ketahuilah kamu, sesungguhnya Syurga itu berada di bawah libasan pedang kamu. Selanjutnya Nabi s.a.w bangkit dan berdoa: Ya Allah! Engkaulah Yang menurukan kitab dan Yang menggerakkan awan dan Yang mengalahkan pasukan yang bersekutu, hancurkanlah mereka dan berikanlah kemenangan kepada kami *

Implikasi seorang penakut

Rasa takut yang  menyelubungi  diri seorang pejuang hanyalah merupakan perangkap  syaithan  untuk menggagalkan hasrat  perjuangan yang suci ini. Malang  bagi sebuah wadah yang memperjuangkan  perlaksanaan syariat , keadilan dan hak asasi manusia , kiranya ia memiliki senarai pejuang yang penakut dan hanya  mementingkan diri sendiri  .

Rasa takut melahirkan seorang pejuang berjiwa  hamba yang  tak mungkin bernafas  panjang untuk mengharungi badai memburu kemenangan. Mereka pasti mengaku  kalah  sebelum bertempur dan mereka  mudah dibeli oleh pihak musuh demi menyelamatkan diri mereka.

Rasa takut ini juga  mengakibatkan seorang  pejuang tidak  tenteram  dan selesa berjuang. Kedudukan ini sangat mengganggu potensi dan kualiti tugasnya.Benarlah kata  hukama’ :

لا نَامَتْ  أَعْيُنُ الجُبَنَاءِ

“ Tidak lena tidur mata orang penakut ”

Perjuangan ini memerlukan keberanian dalam menghadapi cabaran dan rintangan . Justeru itulah slogan الموت في سبيل الله أسمى أمانينا  menjadi slogan rasmi bagi perjuangan kita. Sebaik sahaja nama didaftar sebagai ahli / pejuang , kita dituntut sedia untuk berkorban  harta , masa , tenaga , darah dan nyawa demi perjuangan.

Penutup

Kemenangan  menjadi impian setiap individu yang berjuang. Namun ia  tidak semudah ungkapan di hujung bibir. Kemenangan mesti dibeli dengan harga yang sangat  mahal dan ia adalah kuniaan Ilahi kepada mereka  yang layak.

Terpaksa  ke mahkamah  ,  dibuang daerah , tangkap tanpa  bicara ( ISA ) ,  difitnah bertali  arus , seksa dan bunuh adalah asam garam bagi perjuangan kita. Tatkala kita memilih untuk bersama dengan BA , tentunya kita telah mengenal pasti risiko yang  bakal dihadapi.

Lantaran itu  , kita mesti  meneruskan perjuangan ini dengan sabar , tabah , tenang ,  berani dan istiqamah. Biarpun UMNO / BN melipat gandakan tindakan kejam dan dholim mereka untuk menghalang  kebangkitan rakyat. Hadapilah segalanya dengan keutuhan tawakkalkepada Allah swt.

وَلا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنْ اللَّهِ مَا لا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

( النساء  104 )

Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.



[1]    Sebagaimana yang ditegaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim : Jika takut pada risiko usah bicara  soal perjuangan.

[2]    Sekalong  tahniah kepada YB. Mahfoz Omar Ketua DPPP , naibnya  Salahuddin  Ayyub dan Pak Cik Amjal yang sanggup memilih penjara daripada akur dan membayar wang kepada kerajaan BN apabila dianggap bersalah kerana membantah kemasukan pasukan kriket Yahudi ke negara kita seketika  dahulu . Sikap  yang  diambil oleh  mereka telah menghapuskan sel phobia (takut kepada penjara ) dikalangan  masyarakat umum dan  sebahagian  pejuang untuk meneruskan perjuangan sehingga Islam  tertegak di tanahair  kita. Semangat mereka  mengingatkan kita kepada sikap  Nabi Allah Yusuf yang  memilih penjara daripada akur kepada konspirasi jahat  pihak istana.

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ   -  Surah Yusuf ayat : 33

[3]  Tidak takut / gentar kepada celaan orang yang mencela menjadi salah satu prinsip seorang pejuang yang telah digariskan oleh Allah swt. Justeru itu , kita sebagai aktivis / pejuang BA , dengan berbekalkan  keyakinan , semangat  dan kefahaman  untuk menobatkan syariat Allah di atas tanahair ini mestilah berjiwa  besar dan berani . Pedulikan ugutan , ancaman ,  tuduhan , fitnah , cercaan , kedholiman dan kekejaman  yang dilakukan oleh UMNO / BN terhadap kita. 

Jangan terkesan , mengaku kalah dan lemah semangat menghadapi mehnah / ibtila’ tersebut , kerana inilah yang diinginkan oleh BN tatkala mereka menyerang kita bertali arus . Sebaliknya kita  menegaskan  bahawa apa yang dilakukan oleh  BN hanyalah seperti anjing liar  menyalak gunung . Sudah pasti gunung tak kan terjejas dek salakan sang anjing liar  kendatipun ia menyalak sejak dulu , kini  dan selamanya .

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ   -Surah As Saff ayat 8

“ Mereka mahu memadam  cahaya Allah dengan mulut – mulut mereka sedang Allah mahu menerangkan cahayanya walaupun ianya  sangat dibenci oleh orang-orang kafir  .”

 [4]  Kitabul Jihad dan  strateginya . Bab Makruh meminta untuk bertemu dengan musuh dan perintah supaya bersabar ketika bertemu dengannya.

Sumber


AdyanaNur
22 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa




Friday, November 14, 2014

Rehlah La Hot Spring

Bismillah 
Assalamu'alaikum

Sempena cuti Hari Keputeraan, kami geng Usrah Nisa' Kelantan merancang satu trip rehlah ke Kolam Air Panas La atau orang Kampung Baung biasa sebut La Hot Spring. Alhamdulillah berjaya juga kami bercuti kali setelah banyak kali dah plan, sebelum ni rancang nak ke Lata Berangin, tak jadi. Destinasi seterusnya di sini. Lata Berangin next insha Allah. Seramai 14 ahli usrah menyertai rehlah kali ini.



Sejarah Kolam Air Panas

Membaca sejarah Kisah Kolam Air Panas La / La Hot Spring. Menurut sejarah, Kolam Air Panas La, di Hulu Besut yang dikenali sebagai La Hot Spring telah dijumpai oleh Penghulu Haji Ibrahim Bin Haji Mat ketika zaman pemerintahan Inggeris dahulu. Kedudukannya di tengah-tengah hutan menyebabkan tiada orang berminat ke sana, hanya selepas penerokaan tanah oleh Felda sahaja barulah  Kolam Air Panas La @ Hot Spring ini mula dikunjungi oleh orang ramai.

Kolam Air Panas.

Subhanallah, kehebatan kuasa Allah dan anugerah alam pada manusia. Airnya panas, tapi berbeza panasnya air disebabkan api dan air panas bersuhukan bumi. Pada mulanya tak boleh nak bayangkan, kolam air panas, panasnya macam mana, kenapa panas. Di sinilah terjawab semuanya.

Aktiviti kami :)

Aktiviti semua bebas, memandangkan ada yang datang bersama keluarga, adik-beradik. Aktiviti wajib, bakar ayam dan kambing :)
Semoga rehlah berkonsepkan ukhuwwah ni diteruskan dan semoga pengisian seterusnya lebih bersedia :D

AdyanaNur
22 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa

Pra Syarat Kemenangan Kita - Siri Kelima

Bismillah 
Assalamualaikum.

PRA SYARAT PERTAMA, KEDUA , KETIGA dan KEEMPAT




SANGGUP BERKORBAN DEMI  PERJUANGAN


Perjuangan memerlukan pengorbanan . Bak  kata hukamak : “Kemenangan semanis madu  memerlukan pengorbanan sepahit hempedu”

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

( التوبة   41 )

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah ( berkorbanlah ) dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian terlebih baik ( kemenangan ) bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Sejarah kemenangan dan kegemilangan  Islam  di sepanjang  zaman turut diwarnakan oleh perjuangan dan pengorbanan  yang cukup hebat  dan terbilang , menyaksikan bagaimana harta , tenaga ,  darah dan nyawa  menjadi yuran  berkualiti tinggi yang  dibayar oleh para pejuang.

مِنْ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا

( الأحزاب   23 )

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Mereka yang berjuang dan berkorban demi kerana Allah dan ugamaNya , pasti mereka  mencapai  kemenangan justeru inilah yang diisytiharkan oleh Allah swt :

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَائِزُونَ

( التوبة  20 )

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad ( berjuang ) pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.( menang )

Pengorbanan satu kemuliaan

Tiada hidayah tanpa dakwah , tiada dakwah tanpa  perjuangan dan  tiada perjuangan tanpa  pengorbanan. Kiranya  perjuangan  adalah  satu  kebanggaan nescaya pengorbanan pula  adalah  satu kemuliaan . Mana kan tidak , mereka  sanggup mengorbankan  harta , tenaga , masa , darah  dan nyawa demi sebuah perjuangan mendaulatkan syariat Allah dan memartabatkan ummah  .

Sungguhpun pengorbanan ini  mengorbankan kepentingan diri  dan duniawi , namun ia bukan suatu  yang rugi bagi anggota parti / jamaah yang berkorban demi perjuangan .

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ   تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ   يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ   وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرْ الْمُؤْمِنِينَ

( الصف   10 – 13 )

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu  mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

Pengorbanan  anggota parti / jamaah adalah bukti keyakinan dan kesungguhan terhadap perjuangan, demikianlah generasi gemilang melakar sejarah perjuangan mereka dengan turut mengisytiharkan slogan pengorbanan yang masyhur :

المَوْتُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ أَسْمَى أَمَانِنَا

“ Mati di jalan Allah adalah  setinggi  - tinggi harapan kami.”

Pengorbanan harga  sebuah perjuangan.

Beberapa detik waktu  sebelum Rasululllah saw  dan para sahabat rhm. tiba di Madinah untuk mendaulatkan Islam ,  sejarah mendedahkan kepada kita betapa mereka telah melalui satu tempoh perjalanan yang sangat mengancam mereka. Namun begitu , demi menjayakan hasrat mereka ( untuk mendaulatkan  Islam ) mereka telah membayarnya dengan harga yang terlalu mahal .

Yassir syahid kerana dicekik dan isterinya Sumayyah pula syahid kerana  disula . Mereka melakukan pengorbanan ini  semata – mata kerana tidak mahu kembali kufur kepada Allah swt. setelah mereka dipaksa  oleh kuffar musyrikin .
Bilal ibnu Rabbah hampir menemui  maut apabila ia diseksa dengan dahsyat , batu yang besar diletakkan atas dadanya dan dijemur pula  bawah  terik matahari sehinggalah Saiyidina Abu Bakar rha datang membebaskannya.
Suhaib Ar  Rumi telah meninggalkan semua hartanya untuk melepaskan diri  dari sekatan  kuffar quraisy , sehingga Allah swt. menurunkan ayat :[1]

وَمِنْ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

( البقرة   207 )

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

Saiyidina Ali Karramallahu wajhah sanggup berhadapan dengan risiko yang sangat mengancam nyawanya ketika mengambil alih tempat tidur Rasulullah saw demi menjayakan  hijraturrasul ke arah menegakkan negara Islam di Madinah  .
Semua contoh pengorbanan ini adalah  harga dan nilai perjuangan mereka terdahulu untuk mendaulatkan  Islam, maka kenapa  tidak kita juga melakukan pengorbanan sedemikian, walhal kita juga mempunyai hasrat yang sama untuk mendaulatkan  Islam di  tanahair kita. sementelah pula rakyat kini sangat bosan dan  kecewa dengan kegagalan politik sekular dan ekonomi kapitalis dalam menangani kemaslahatan dan kebajikan ummah. [2]
Jangan berpuas hati dengan pengorbanan

Anggota parti / jamaah yang ikhlas  dan berkeperibadian tinggi tidak akan berpuas hati  dengan apa  yang telah ia berikan  kepada parti / jamaah  .  Sebaliknya ia akan  berusaha lebih gigih  dan giat untuk memperkayakan sumbangannya kepada parti / jamaah .

Inilah  keperibadian seorang pejuang yang hanya mengambil  kira kepentingan jamaah dan ummah. Sewajarnya kita juga menghiasi diri dengan keperibadian  ini. Jangan  dinilai jumlah  pengorbanan kita  kepada parti / jamaah tetapi  nilailah  bagaimana kualiti pengorbanan tersebut . 

Pula jangan disoal apa yang parti / jamaah  berikan kepada kita tetapi hitunglah apa  yang telah  kita  berikan kepada  parti / jamaah .  Keperibadian dan semangat begini akan menjadi aset yang  sangat  berharga bagi sebuah perjuangan untuk  mendaulatkan  syariat Ilahi .

Seorang pejuang yang berpotensi juga akan prihatin terhadap peluang yang ada , untuk berlumba  - lumba memberi pengorbanan terbaik kepada  jamaah ,  ummah dan perjuangan .



[1]        Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu  Abbas radhiallahu a’nhuma.

[2]   Berjuang untuk mendaulatkan Islam dan syariatnya di tanahair kita (Malaysia) tidak kurang sukarnya berbanding negara - negara lain masa kini. BN yang menjadi penghalang utama kepada hasrat PAS/BA ( yang ingin mendaulatkan Islam ) tanpa henti merencana konspirasi dan komplot kejam bagi menggagalkan  hasrat tersebut . Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk kekerasan dengan memperalatkan pihak polis untuk menangkap , mengusir dan membunuh pejuang dan aktivis  BA. Namun perjuangan   tetap diteruskan dengan semangat pengorbanan yang tiada taranya , sehinggalah Islam dapat dilaksanakan atau kita mati kerananya.         .إما النصر و إما الشهادة 

Sumber


AdyanaNur
21 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa




Thursday, November 13, 2014

Pra Syarat Kemenangan Kita - Siri Keempat

Bismillah 
Assalamualaikum.

PRA SYARAT PERTAMA, KEDUA dan KETIGA



PRA  SYARAT   -  4

DENGAR DAN  TAAT  ARAHAN PIMPINAN


Dengar serta taat kepada arahan pimpinan yang dilantik  dan diberi  kepercayaan untuk mengemudi parti / jamaah adalah  satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh setiap individu selama mana  arahan tersebut tidak bercanggah dengan syariat. Sabda  Rasulullah saw :

اِسْمَعُوْا وَ أطِيْعُوْا  وَ   إِنِ اسْتُعْمِلَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِي َ كأنَّ رَأسهُ زَبِيْبَة
[1] (البخاري ) 
“ Dengar dan taatlah olehmu sekalipun yang bertanggungjawab  mengarah kamu  hanyalah seorang hamba Habasyi  sementara rambutnya pula  berkerinting. ”

عَلَى اْلمَرْءِ اْلمُسْلِمِ السَّمْعُ وَ  الطَّاعَةُ فِيْمَا  أَحَبَّ وَ  كَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَ لاَ طَاعَةَ .
( رواه  مسلم )[2]

“  wajib dengar dan taat bagi setiap individu  muslim dalam perkara yang ia suka  mahupun  tidak  (benci ) selama mana ia tidak diperintah  melakukan maksiat , apabila ia diperintah melakukan  maksiat  maka tiada  dengar  dan tiada  taat .”

Dengar dan taat kepada arahan pimpinan bukanlah  satu perhambaan tetapi lambang keutuhan gerakkerja berorganisasi . Ia menjadi suatu  arahan rasmi dari Allah swt .  dengan  firmanNya :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا
( النساء   59 )

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu (orang – orang yang  beriman). Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Setiap anggota parti / jamaah mesti bersedia untuk membasmi keegoan akademik dan keegoan senioriti demi memastikan prinsip “ dengar dan taat ” dapat dilaksanakan dengan baik , seterusnya memulangkan kesan yang sangat positif untuk memastikan  kelancaran gerakkerja .

Tanpa dengar dan taat terhadap arahan pimpinan , bukan sahaja ia bercanggah dengan prinsip amal Islami  malah ia melambatkan perjalanan parti /  jamaah . Sedang musuh  bergerak laju ke  hadapan untuk  merencana  dan memerangkap pergerakkan kita .  Benarlah apa  yang disebut oleh Saiyidina Omar Al Khattab rha.

لا اِسْلامَ إلا بِجَمَاعَةٍ وَ لا جَمَاعَةَ إلا بِإِمَارَةٍ وَ لا إِمَارَةَ إلا بِطَاعَةٍ

“ Tiada Islam tanpa jamaah , tiada  jamaah tanpa kepimpinan  dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan ”

Dengar dan taat  menjadi ujian besar kepada anggota parti / jamaah untuk membuktikan wala’ (kesetiaannya kepada perjuangan )  serta intima’ (  keterikatannya dengan prinsip  dan  agenda perjuangan ) .  Ujian  sebegini pernah dilihat dalam  rakaman peristiwa Tholut dan tenteranya .

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلا مَنْ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلا قَلِيلا مِنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
( البقرة  249 )

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka ( yang taat ). Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Peristiwa ini jelas membawa mesej bahawa dengar serta  taat kepada peraturan  dan arahan  pimpinan  adalah  syarat  turunnya pertolongan  atau kemenangan daripada Allah swt. Justeru itu Baginda  saw. berwasiat  kepada seluruh ummatnya dengan  ‘ dengar  dan taat ’ kepada  pemimpin yang dilantik dikalangan  orang yang beriman.

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ  جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيْرًا  فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ  الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ  اْلمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ .
( رواه أبو داود و الترمذي و قال : حديث حسن صحيح ) 

“Aku berwasiat kepada kamu supaya  bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla ,  dengar dan taat sekalipun yang mengarah kamu hanyalah seorang hamba , maka sesungguhnya  sesiapa  yang masih  hidup dikalangan kamu , ia akan  berhadapan dengan konflik yang begitu hebat , dikala  itu  wajib ke atas  kamu berpegang teguh  dengan sunnahku dan sunnah  khulafa’ Ar Rasyidin  yang mendapat petunjuk. Genggamlah ia dengan geraham dengan seerat -  eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara – perkara yang diada-adakan maka sesungguhnya semua perkara  yang diada-adakan ( yang  tidak terdapat dalam syariat ) adalah sesat .”[3]


Tegas dengan prinsip “ dengar dan taat ”  ini tidak bermaksud  menghalang anggota parti / jamaah mengemukakan pandangan yang berbeza dengan  pendapat  pimpinan dan  juga  tidak bermaksud  menyempitkan  ruang anggota menegur  atau  mengkritik  pimpinan dengan kritikan yang membina .

Hanya suatu sikap yang mesti dijelaskan , bahawa pandangan yang berbeza dan teguran yang diberi , tidak sampai melucutkan ketaatan anggota kepada pemimpin yang dilantik , begitu  jua  kepada parti /  jamaah yang didokong.

Bagaimana menegur pimpinan Jamaah

Menjadi hak dan tanggungjawab anggota mengemukakan pandangan yang membawa kebaikan kepada parti  /  jamaah ,  demikian juga teguran  atau kritikan yang membina .  Namun wajar  diinsafi bahawa parti / jamaah mempunyai tatacara  atau adab yang luhur dan saluran  yang tepat untuk merealisasikan kritikan yang membina  dan mengemukakan pandangan yang bernas .

Jangan  menjadikan ‘  kedai kopi ’ sebagai pentas menegur  pimpinan kerana  fenomena ini tidak memberi  keuntungan kepada sesiapa  melainkan musuh.

Berbincang  atau bersemuka dengan suasana ukhuwwah  yang harmoni dan mengemukakan pandangan  melalui  mesyuarat yang diadakan , adalah merupakan saluran yang sangat tepat , malah ia  mengurangkan kadar  masaalah dalaman seperti salah faham dan syak wasangka .

Pemimpin yang ditaati

Demi meraih ketaatan anggota kepada pimpinan,  sewajarnya pula pihak pimpinan memelihara  thiqah (kepercayaan anggota parti /  jamaah kepadanya .) Pemimpin selayaknya pula mengelak diri daripada persekitaran yang merosakkan kewibawaannya  sebagai seorang pemimpin .

Akhlak , disiplin dan karisma kepimpinan mesti dipelihara dan dikawal , lantaran  hilang  salah satu daripadanya mengakibatkan lunturnya  ketaatan anggota  kepada  pimpinan .

Pemimpin sayugianya bijak menyusun  arahan  dan mengatur titah ,  sesuai dengan tahap keupayaan  anggota yang diarah . Arahan  yang tidak bijak akan menyulitkan anggota  untuk mentaatinya dan ini menyumbang  kepada penghakisan prinsip ‘ dengar dan taat ’ dalam parti /  jamaah.

Sementara qudwah yang dipamerkan oleh pimpinan pula mampu meningkatkan kualiti ketaatan anggota kepada arahan pimpinan.Seringkali tercetusnya  krisis ketaatan anggota terhadap pimpinan berpunca dari  sikap pimpinan yang ‘ cakap tak serupa  bikin  dan bikin   tak serupa cakap ’ . Bukankah Allah  telah menempelak  golongan seperti ini :

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلا تَعْقِلُون                                                                          ( البقرة   55 )

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?َ

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ   كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لا تَفْعَلُونَ
( الصف  2 - 3 )

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”


Tiada taat dalam perkara bathil/maksiat .



Ketaatan kepada pimpinan bukan bersifat taat membuta tuli .Namun wajib dipastikan ketaatan yang diberi hanyalah untuk urusan taat kepada Allah atau perkara yang makruf sahaja.

حَدِيثُ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ جَيْشًا وَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ رَجُلاً فَأَوْقَدَ نَارًا وَقَالَ ادْخُلُوهَا فَأَرَادَ نَاسٌ أَنْ يَدْخُلُوهَا وَقَالَ الآخَرُونَ إِنَّا قَدْ فَرَرْنَا مِنْهَا فَذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لِلَّذِينَ أَرَادُوا أَنْ يَدْخُلُوهَا لَوْ دَخَلْتُمُوهَا لَمْ تَزَالُوا فِيهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَقَالَ لِلآخَرِينَ قَوْلاً حَسَنًا وَقَالَ لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ *   
( البخاري و  مسلم )

Diriwayatkan daripada Saidina Ali k.w katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w telah mengutus satu pasukan tentera dan baginda telah melantik seorang lelaki sebagai pemimpin tentera itu. Lelaki tersebut telah menghidupkan api dan berkata: Kamu semua masuk ke dalam api itu. Maka sebahagian dari tentera ingin memasuki ke dalam api tersebut dan sebahagian dari tentera yang lain berkata: Kami telah melarikan diri daripadanya. Perkara itu dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda kepada orang-orang yang ingin memasuki api tersebut: Sekiranya kamu memasukinya nescaya kamu akan terus berada di dalamnya sehingga Hari Kiamat dan Nabi berkata kepada pihak satu lagi dengan kata-kata yang baik serta bersabda: Jangan mentaati perintah untuk melakukan maksiat kepada Allah tetapi taatilah dalam perkara kebaikan*[4]

Taat dalam semua keadaan.

Ketaatan  terhadap pimpinan bukan suatu  pilihan (ikhtiari) sebaliknya suatu kewajipan yang wajib ( ijbari ) ditunai dalam semua situasi .

عن أبي هريرة  رضي الله عنه . قال  : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : عَلَيْكَ السَّمْعَُ وَ الطَّاعَةَ في عُسْرِكَ وَ يُسْرِكَ وَ مَنْشَطِكَ وَ مَكْرَهِكَ وَ أَثَرَةٍ عَلَيْكَ .                                                            ( رواه مسلم ) 

Dari Abi Hurairah rha. Ia berkata :” Rasulullah saw bersabda : Kamu wajib mendengar dan taat dalam keadaan sulit , senang ,  suka  dan dukamu malah dalam hal  yang kamu  tidak berkenan sekalipun .[5]



[1]Riwayat Al Bukhari dari Anas rha.

[2] النووى على مسلم   ج 12  ص    226     

[3]  رواه أبو داود في السنة باب لزوم  السنة   و الترمذي في العلم  باب ما جاء في الأخذ بالسنة و اجتناب البدع                                                                                                                                              

[4]  Shohih  bukhari dan Muslim . Kitabul Imarah  Bab Wajib mentaati pemimpin dalam perkara yang tidak maksiat dan haram mentaati pemimpin dalam perkara maksiat.

[5]  Shohih Muslim dalam kitab dan bab yang sama .


Sumber


AdyanaNur
21 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa



Wednesday, November 12, 2014

Pra Syarat Kemenangan Kita - Siri Ketiga

Bismillah 
Assalamualaikum.

PRA SYARAT PERTAMA dan KEDUA





PRA  SYARAT  -  3

KOMITED DAN ISTIQAMAH DENGAN PERJUANGAN

Keiltizaman ( komited ) pejuang terhadap aktiviti dan agenda perjuangan  tanpa mengenal penat atau bosan dan keistiqamahan mereka menghadapi cabaran antara rahsia utama kekalnya perjuangan Islam. ( sekalipun terpaksa melalui sejarah getir yang sangat panjang dan ianya  menjadi prinsip asas seorang pejuang.)

Wasiat Baginda musthafa saw. kepada para pejuang  menjelaskan prinsip tersebut [1]:

حَدِيثُ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ شَرٌّ قَالَ نَعَمْ فَقُلْتُ هَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَسْتَنُّونَ بِغَيْرِ سُنَّتِي وَيَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ فَقُلْتُ هَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ نَعَمْ قَوْمٌ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَمَا تَرَى إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ فَقُلْتُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ عَلَى أَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ *
( رواه البخاري و مسلم ) 

Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan ? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah beriltizam ( komited ) dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggalah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian *

Dua kekuatan  asas perjuangan , iaitu iltizam ( komited ) dan istiqamah akan menjadi  alasan kenapa  kita   tidak boleh ditewaskan malah  semakin mantap mengharungi liku – liku perjuangan  ,  sungguhpun konspirasi dan manipulasi musuh   kian dholim dan  kejam  demi mempertahankan kuasa dan pengaruh mereka .

Justeru itu , pastikan setiap anggota dan kepimpinan  parti  / jamaah mempunyai  nilai  komitmen  dan istiqamah yang tinggi . Keiltizaman dapat  dinilai melalui kesungguhan menganjur  dan menyertai  aktiviti amal Islami di pelbagai peringkat parti  /  jamaah . Bersedia dikerah dan diarah untuk menjayakan  agenda  dan  aktivitinya , bila  dan dimana ia dianjurkan.

Mereka yang mempunyai komitmen bernilai tinggi  akan berasa kesal  dan berdosa tatkala gagal menghadhirkan  diri dalam apa jua  program atau aktiviti  yang melibatkan dirinya  untuk hadhir.

 Aktiviti yang perlukan  iltizam ( komitmen )

Antara contoh aktiviti / program yang memerlukan  komitmen dari  anggota  dan kepimpinan :

Mesyuarat Agong  ( tahunan )
Mesyuarat Ajk. ( bulanan )
Usrah , tamrin  atau  seminar
Taklimat pimpinan dan taklimat  Isu  semasa
Majlis penerangan  ( spt. ceramah umum )
Majlis Ilmu  , da’awah fardiyyah dan dialog gerakkerja
Majlis muhasabah  dan lain -  lain  aktiviti semasa  yang diputuskan oleh parti / jamaah.[2]

Mengawasi   ( متابعة ) jadual aktiviti/program dan rasa terpanggil untuk  menyertainya adalah antara tanda  awal bagi  seorang pejuang memiliki komitmen  yang tinggi terhadap perjuangan , justeru semua  bentuk penglibatan dalam aktiviti amal Islami adalah merupakan suatu tuntutan .  Firman Allah swt .

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمْ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأَرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنْ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلا قَلِيلٌ   إِلا تَنفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلا تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ                  ( التوبة  38 – 39  )
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang/berjuang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang/berjuang pada jalan Allah - membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Objektif untuk memiliki Istiqamah

Menghayati  peraturan dan arahan perjuangan ( jihad fi sabilillah ) yang terkandung di dalam Al Quranul karim  dan Sunnah An nabawi
Mengambil  iktibar dari gerakan sirah perjuangan dan  pengorbanan baginda  saw. jua para sahabatnya rhm.
Memahami  matlamat serta arah tuju perjuangan yang didokong dan diperjuangkan .( jangka  panjang dan jangka pendek  )
Menerima motivasi dan  bimbingan  yang berterusan dari  pucuk pimpinan atau sahabat seperjuangan .
Mengenali realiti dan menginsafi tuntutan perjuangan bagi mengisi  keperluan jamaah dan ummah .
Bertugas atau bekerja secara  jamaei ( kolektif ) dengan memelihara  asas  kombinasi tenaga  dan fikrah .
Memiliki ilmu perjuangan  dan kumpulan data  maklumat  untuk menyusun  atau  merangka  gerakkerja bersistematik dan strategi yang efektif.
Memahami  tabiat atau sunnatullah bagi sebuah perjuangan yang ingin mendaulatkan syariat  Ilahi dan menegakkan keadilan sejagat  . [3]


[1] كتاب الإمارة  :   باب  وجوب ملازمة جماعة المسلمين عند ظهور الفتن  و في كل حال و تحريم الخروج على الطاعة و مفارقة الجماعة                                                           

[2]  Komitmen  anggota  dan kepimpinan tidak terhad kepada kepada senarai di atas  sahaja  tetapi  mestilah senantiasa bersedia untuk turun ke medan  dalam apa jua  bentuk aktiviti yang diputuskan  oleh parti / jamaah termasuklah sanggup  dan bersedia untuk jihad qitaliah (  perang ) jika parti,  hukum dan suasana memerlukan sedemikian .

[3]  Tabiat perjuangan kita , sebagaimana  yang telah diisytiharkan oleh Allah swt  melalui firmanNya dari surah At taubah  , ayat 42 :
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاتَّبَعُوكَ وَلَكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمْ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوْ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) suatu faedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh dan dirasakan sukar bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Ayat di atas menggariskan 2 tabiat perjuangan iaitu Sukar dan Jauh  sementara Firman Allah swt dalam surah Al Anfal , ayat 30 pula menjelaskan :
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

Ayat ini menggariskan  3 tabiat perjuangan  sepanjang zaman iaitu penjara , bunuh dan buang daerah .


Sumber


AdyanaNur
20 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa



Tuesday, November 11, 2014

Jodoh Itu Rahsia Allah

Bismillah
Assalamu'alaikum

Tinggal baki sebulan lebih sahaja lagi untuk masuk ke tahun 2015. Tahun 1436 Hijrah sudah hampir 20 hari. Cuti sekolah pun tidak lama lagi. Yang pastinya, undangan ke majlis walimah sahabat-sahabat sudah berkeping-keping, malah tarikh yang sama pun ada. Saya ni, paling kurang dua majlis sahaja sempat sampai dalam masa sehari. Kalau satu kawasan boleh la tiga majlis. Apa pun saya gembira jika diberi kesempatan untuk sama-sama meraikan hari bahagia sahabat-sahabat.

Angah Win Izyan Mazni Siti Hawa Khairul Najwa Shuhada Tajudin Amira Afifah Kak Hafsah

Soalan biasa di majlis perkahwinan bagi yang belum berkahwin ni, akan ditanya soalan yang memang tak boleh elak. Bila pula majlis diri sendiri. Senyum sengih gelak dan mengelak. Aduhai, susah nak jawab, seperti susahnya nak beritahu tarikh kematian kita, begitu jugalah soal jodoh.Jodoh, merupakan rahsia besar Allah buat hambaNya. Cepat ataupun lambat, inshaAllah jodoh itu pasti akan datang. Yang pasti kita cuba merancang yang terbaik untuk kehidupan ini, sudah pasti perancangan Allah itu adalah yang terbaik dan mengatasi jangkauan ilmu yang kita miliki.




Bercinta bukanlah syarat untuk mendapat jodoh. Benar bukan? Tidak perlu pada ucapan-ucapan cinta sayang dan perbuatan yang romantis sehingga ada yang bercinta sakan sehingga semua orang tahu tentang mereka, keluar berdua, bergayut, tetapi akhirnya ke mana mereka? Bercinta bukanlah passport menjadikan kita ada jodoh dengan pasangan yang diinginkan, tetapi itu semua sekadar mengikut hawa nafsu semata. 



Saya belum berkahwin sehingga tulisan ini ditulis dan saya berdoa dan berharap saya mendapat jodoh mempunyai latar belakang diri dan keluarga yang baik, soleh, mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Saya tahu, perkahwinan  bukan sekadar mencari pasangan hidup, tetapi bakal ibu ayah kepada zuriat yang akan diamanahkan Allah di kemudian masa nanti. Sementara masa yang masih ada sebelum diamanahkan menjadi isteri kepada suami dan ibu kepada anak-anak nanti, perlengkapkanlah diri dengan akhlaq yang baik, ilmu yang berguna, hatta sehingga selepas berkahwin pun banyak lagi yang perlu dipelajari.

Dalam kitab كي لا نمضي بعيدا عن احتياجات العصر karangan Syeikh Said Hawwa. m/s 48 cetakan Darul Salam (Cetakan ketiga 1992) ada menggariskan  sepuluh perundangan Usrah Muslimah yang wajib dilaksanakan.

Qanun 1: Kebersihan dan Kesucian ( النظافة و الطهارة )
Qanun 2: Sistematika , Penyusunan &
Kekemasan ( التنظيم و الترتيب و حسن الههيئة )
Qanun 3: Ketenteraman dan Kerahsiaan( خفض الصوت و كتمان الأسرار )
Qanun 4: Sistematika Ilmu dan Ibadah ( تنظيم العلم و العبادة )
Qanun 5: Belanjawan ( الإقتصاد في الطعام و الشراب )
Qanun 6: Komunikasi dan Interaksi ( العلاقة و آداب التعامل )
Qanun 7: Kesihatan dan Pergerakan Jasmani ( العناية بالصحة و الرياضة )
Qanun 8: Kawalan penghuni dan Nahi Mungkar ( حماية البيت و أهله من الشذوذ )
Qanun 9: Kejiranan dan Tetamu ( الإحسان إلى الجار و إكرام الضيف )
Qanun 10: Keluar Masuk ( مراعاة الأدب في الدخول و الخروج )

Belum lagi bab Tarbiyatul Awlad, belum lagi tentang pengurusan kewangan rumah tangga. Ambillah masa menambah ilmu daripada membuang masa mengeluh tentang jodoh yang belum tiba. Berbuat baik kepada ibu bapa, lebih-lebih lagi selepas berkahwin kerana masa perlu dibahagi dua dan tiga. 

Sentiasa berpesan pada diri, masa yang ada inilah ibu-bapalah yang pertama dan Allah dan Rasul yang utama. 


رب لا تذرني فردا وأنت خٌيُرْالوارثين
 21:89

Dia Maha Tahu, dan kita hanya berusaha :)


AdyanaNur
18 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa



KakiBlog