Sunday, November 9, 2014

Pra Syarat Kemenangan Kita - Siri Kedua

Bismillah 
Assalamualaikum.

PRA SYARAT PERTAMA klik di sini





PRA SYARAT  -  2

KEIKHLASAN YANG TULUS  TERHADAP PERJUANGAN

Keikhlasan adalah rahsia antara  seorang pejuang dengan tuhannya.Ia pula menjadi  sumber  utama yang  menentukan نصرة ( pertolongan / kemenangan ) daripada Allah swt.

Keikhlasan seorang pejuang  merupakan jambatan utuh antara dirinya ( sebagai seorang pejuang ) dengan Allah swt.  dan ini memudahkan urusan membina hubungan erat atau تقرّب  yang berterusan .  Melalui hubungan erat inilah pula akan disalurkan pertolongan dan kemenangan .

Masakan tidak , kerana keikhlasan  melahirkan kesungguhan berkerja  dan bertugas tanpa  mengharapkan balasan atau imbuhan dunia yang sedikit ,  kesungguhan tersebut pula akan menghasilkan kualiti perjuangan yang  tinggi malah turut meningkatkan reputasi diri pejuang  itu  sendiri .

Keikhlasan  turut berfungsi sebagai formula yang sangat  berkesan untuk  membunuh segala  virus yang  terbit dari sifat  مذمومة ( negatif ) seperti ريأ (  berkerja dan bertugas untuk diperlihatkan kepada umum , kononnya ia seorang yang rajin dan tekun bertugas sedang prestasinya  merosot jika  tiada orang melihat aksinya ) , عجب ( hairan dan bangga  diri kerana telah banyak memberi sumbangan kepada parti atau jamaah dan merasakan orang lain tidak seperti dirinya ) , حب رياسة   (  cinta kepada jawatan atau kedudukan sehingga mendorong berlakunya lobi melobi dan politik cantas sedang tidak pula sehebat itu  aksinya  ketika  menentang  musuh ) dan 1001 jenis sifat atau tabiat lain yang  merosakkan keikhlasan dan kesejahteraan beramal  dengan Amal  Islami .

Tanpa  keikhlasan dalam perjuangan , biarpun sehebat mana pengaruh dan publisiti yang berjaya diraih , kesannya sangat memudharatkan parti / jamaah . Paling minima kesan  yang bakal diterima ialah hilangnya keberkatan dan kemanisan bekerja. Seterusnya mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang melambatkan perjalanan parti / jamaah  dan kemuncaknya ialah Allah membatalkan jadual kemenangannya.


Petanda Ikhlas seorang  pejuang .

Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah swt. tidak kerana target nak jadi Yang di Pertua atau seumpamanya  sehingga melanggar  disiplin Amal Jamaei atau membina imej  diri sehingga merempuh system syura dalam Amal Islami.
 عن أمير  المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضى الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى  الله عليه وسلم يقول  : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَ إِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا  نَوَى  فَمَنْ كَاْنَتْ هِجْرَتُهُ إِلى  اللهِ وَ رَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلى اللهِ وَ رَسُوْلِهِ وَ مَنْ كَاْنَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .
( رواه البخاري و مسلم  )

“Sesungguhnya amalan  berasaskan  niat  dan sesungguuhnya bagi setiap individu terpulang  kepada  apa yang ia  niatkan , maka barangsiapa yang  berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka  hijrahnya  kembali kepada Allah  dan RasulNya  dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia ( tujuan  keduniaan ) yang  ingin diperolehinya atau kerana  perempuan  yang ingn dikahwininya maka hijrahnya kembali kepada tujuan asal  hijrah yang  ia lakukan.” [1] 

Nawaitu  yang  ikhlas sangat  diperlukan oleh seorang  pejuang kerana ia kelak akan berfungsi sebagai senjata dan penangkis agar ia tidak gugur dari perjuangan suci ini sekalipun diuji dan digoncang perasaannya . Hasil nawaitu  yang  ikhlas ini mercerna 5 sifat positif bagi seorang pejuang.

السكينة  النفسية              - Jiwa  yang tenang
القوة الروحية                    -  Rohani yang kuat
الإستمرار في العمل           -  Istiqamah terhadap tugas
تحويل العاديات إلى العبادات  -  Semua tugas menjadi ibadat
احراز ثواب العمل                -  Beroleh ganjaran dalam tugas

Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan .  Jawatan hanya menjadi alat dan pengagihan tugas , bukan platform amal . Sikap  hanya aktif  semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negatif yang mendhohirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan.
Contohilah  Khalid Ibnul Walid yang  menerima  surat  perletakan jawatan di tengah medan perang dari Amiril Mukminin Saiyidina Omar Al Khattab rha. , tetapi Khalid Al Walid meneruskan perjuangan  sehingga perang selesai ,  barulah surat itu diwartakan kepada umum .Lantas sahabat rhm. mempersoalkan kenapa Khalid Al Walid terus berperang walhal ia tidak lagi  menjadi ketua turus  tentera waktu itu . Khalid Al Walid rha. mengemukakan jawapan yang cukup jelas mempamerkan keikhlasan  seorang pejuang bahawa ia berjuang dan berperang bukan kerana Omar tetapi kerana Allah swt.

Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran, kerana sikap ini bukan sahaja menyuburkan budaya  التناصح (  nasihat menasihati ) dikalangan anggota parti / jamaah malah menyemarakkan semangat keikhlasan berjuang. Justeru mereka yang memperjuangkan kepentingan peribadi dan merasakan hanya dirinya  yang betul , pasti tidak akan  memiliki sikap tersebut .

عن أبي رُقَيَّةَ تميم بن أَوْسٍ الدَّارِيِّ  رضى الله عنه : أن النبي صلى الله  عليه  وسلم قال : الَدِّيْنُ  النَّصِيْحَةُ  قُلْنَا   لِمَنْ  ؟   قَالَ  : لِلَّهِ وِ لِكِتَابِهِ وَ لِرَسُوْلِهِ وَ لأََئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَ عَامَتِهِمْ .
(  رواه مسلم )[2]

“Ugama ialah nasihat , lantas kami bertanya : Bagi siapa ? Rasulullah saw. menjawab : bagi Allah  swt. , kitabNya , rasulNya , pemimpin muslimin dan orang – orang awam  mereka ( muslimin )”


Tidak bermain alasan untuk  mengelak diri dari aktiviti parti / jamaah . Sebaliknya gigih berikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab  dan amanah dalam apa jua keadaan sekalipun .

لا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ  إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ
( التوبة  44 – 45 )

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.

Bersedia menerima arahan  dalam apa jua keadaan  sungguhpun arahan  itu tidak bersesuaian dengan keinginan diri . Sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi bukti  sebuah keikhlasan .

Prihatin terhadap  keperluan parti / jamaah . Memberi penumpuan penuh dan serious terhadap jadual aktiviti dan keperluan  semasa  dengan rasa  tanggungjawab , tidak hanya menanti surat jemputan atau arahan .  Rasa terpanggil untuk menunaikan keperluan parti / jamaah adalah sikap yang mempamerkan keikhlasan seorang pejuang.

Tolak ansur dalam mengendali  gerakkerja dan permasalahan parti / jamaah jua menjadi cermin diri ke  arah  melahirkan jiwa yang ikhlas.  Tabiat mementingkan diri sendiri dan sukar  mengalah adalah jelas bertentangan dengan prinsip keikhlasan , malah  gerakkerja sering  tergendala  dan masaalah kian kusut dengan wujudnya  individu seperti ini .

Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kerana  mereka sekurang – kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan suci ini . Memburuk  - burukkan mereka  terdahulu dengan pelbagai anggapan melulu  tidaklah mendatangkan  apa -  apa manafaat buat perjuangan ini. Bukankah  Allah telah mengajar kita dengan satu disiplin  yang sangat mulia  iaitu mendoakan mereka dan  memohon agar tidak tumbuh sifat hasad dan dengki dalam diri kita terhadap mereka yang terlebih dahulu membuka langkah  dalam perjuangan ini ?

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
( الحشر  10 )

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".

Post mortem atau muhasabah aktiviti  dan program yang telah dilaksanakan .  Pejuang yang ikhlas tidak sambil lewa  dan bersahaja dalam aktiviti / program yang dianjur semata  - mata  untuk memenuhi jadual dan tidak juga  mempunyai sikap lepas tangan sejurus selesai program dilaksanakan  . Sebaliknya  ia mengadakan post mortem yang berdedikasi untuk menilai dan menggarap masa depan yang baik dan berkesan .

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
( الحشر  18 )

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan ( muhasabah )  apa yang ia telah berlalu (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”


Mengakui dan menginsafi kesilapan yang  telah  dilakukan agar ianya  tidak diulang kembali .  Pejuang  yang ikhlas tidak akan teragak – agak atau malu  untuk mengakui kesilapan yang dilakukan malah segera insaf dan bertaubat .

Mengakui dan menginsafi  kesilapan bukan suatu  yang menjatuhkan maruah diri malah ia membuktikan  keluhuran budi dan keikhlasan hati .

Menjaga rahsia parti /  jamaah , justeru ia suatu amanah yang mesti dipelihara oleh setiap anggota dan pemimpin .  Perbuatan membocorkan rahsia parti / jamaah  seperti mendedahkan minit mesyuarat  kepada mereka yang bukan ahli mesyuarat  atau mempersoalkan keputusan mesyuarat  di khalayak ramai ( seperti di kedai kopi ) adalah merupakan satu pengkhianatan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh anggota  atau pemimpin , yang  mana mereka adalah pemegang  amanah parti /  jamaah .

Menepati keputusan dan ketetapan parti / jamaah.Tindakan yang bercanggah dengan keputusan atau ketetapan parti / jamaah merupakan satu kesalahan akhlak dalam Amal jamaei . Selama mana  keputusan dan ketetapan itu tidak bercanggah dengan syariat Ilahi , maka ia menjadi satu kewajipan bagi  setiap ahli  di pelbagai peringkat untuk mematuhinya.

Lain persetujuan  dalam mesyuarat , lain pula tindakan diluar mesyuarat hanya mendhohirkan sikap tidak ikhlas  terhadap perjuangan yang didokong.

Tidak mengklasifikasikan ketaatan  pada pimpinan. Peringkat mana sekalipun pimpinan itu mengeluarkan arahan , tanggungjawab anggota ialah memberi kepatuhan dan ketaatan. ( selama mana ia tidak bercanggah dengan syariat .)

Tidak ada  beza pada suara arahan yang  datang dari  Presiden atau  Ketua  cawangan . ( Yang mana semua arahan mesti ditaati ) [3]

Aktif tidak bermusim. Jangan hanya  aktif  di musim pilihanraya atau  musim - musim  tertentu  mengikut  mood peribadi atau isu semasa .Menampil dan menonjolkan diri hanya di musim pilihanraya  atau muktamar  tahunan ‘ yang ada pemilihan ’ menunjukkan ada udang di sebalik  batu   dan  sifat  ini sangat tidak ikhlas terhadap perjuangan.

Demikianlah antara  petanda ikhlas yang mesti dimiliki oleh setiap anggota dan pemimpin parti /  jamaah . Keikhlasan terhadap perjuangan adalah kunci kemenangan. Lantaran itu penglibatan dengan PAS  sayugianya  berasaskan semangat perjuangan yang ikhlas untuk menegakkan kedaulatan Islam  dan keadilannya , kerana keikhlasan sedemikianlah yang dinilai sebagai ‘ jihad fi Sabilillah ’ 


حَدِيثُ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَجُلا أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ أَعْلَى فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ * 
( متفق عليه )[4]

“Hadis Abi Asy-a’ri Rha.  bahawa seorang  lelaki A’rabi mendatangi nabi saw. lantas  bertanya : Wahai  Rasulullah , seseorang berperang ( berjuang ) supaya memperolehi  harta  ghanimah , ada yang berperang ( berjuang ) supaya namanya disebut – sebut ,  ada yang berperang ( berjuang )  supaya dilihat kedudukannya , maka siapakah yang benar  -  benar berjuang di jalan Allah ( fi Sabilillah ) Maka Nabi  saw. menjawab: Barangsiapa yang berperang ( berjuang )  untuk meninggikan kalimah Allah swt.  maka dia lah pejuang di jalan Allah swt.”


[1] رواه البخاري أول صحيحه و في الإيمان ( باب ما جاء أن  الأعمال  بالنية الحسنة و  لكل امرىء ما نوى.  و مسلم في الإمارة ( باب قوله  صلى  الله عليه وسلم  : إنما الأعمال بالنية ) 

[2] رواه  مسلم في كتاب الإيمان ( باب  بيان أن الدين النصيحة ) رقم   55           

[3] Ulasan lanjut di bahagian Pra  Syarat ke 4

[4] كتاب إمارة  باب  من قاتل  لتكون كلمة الله هى العليا فهو في سبيل الله

Sumber


AdyanaNur
16 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa



No comments:

Post a Comment

KakiBlog