Bismillah
Assalamualaikum.
PRA SYARAT PERTAMA, KEDUA , KETIGA dan KEEMPAT
SANGGUP BERKORBAN DEMI PERJUANGAN
Perjuangan memerlukan pengorbanan . Bak kata hukamak : “Kemenangan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu”
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
( التوبة 41 )
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah ( berkorbanlah ) dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian terlebih baik ( kemenangan ) bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Sejarah kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman turut diwarnakan oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat dan terbilang , menyaksikan bagaimana harta , tenaga , darah dan nyawa menjadi yuran berkualiti tinggi yang dibayar oleh para pejuang.
مِنْ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا
( الأحزاب 23 )
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
Mereka yang berjuang dan berkorban demi kerana Allah dan ugamaNya , pasti mereka mencapai kemenangan justeru inilah yang diisytiharkan oleh Allah swt :
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَائِزُونَ
( التوبة 20 )
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad ( berjuang ) pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.( menang )
Pengorbanan satu kemuliaan
Tiada hidayah tanpa dakwah , tiada dakwah tanpa perjuangan dan tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Kiranya perjuangan adalah satu kebanggaan nescaya pengorbanan pula adalah satu kemuliaan . Mana kan tidak , mereka sanggup mengorbankan harta , tenaga , masa , darah dan nyawa demi sebuah perjuangan mendaulatkan syariat Allah dan memartabatkan ummah .
Sungguhpun pengorbanan ini mengorbankan kepentingan diri dan duniawi , namun ia bukan suatu yang rugi bagi anggota parti / jamaah yang berkorban demi perjuangan .
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرْ الْمُؤْمِنِينَ
( الصف 10 – 13 )
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.
Pengorbanan anggota parti / jamaah adalah bukti keyakinan dan kesungguhan terhadap perjuangan, demikianlah generasi gemilang melakar sejarah perjuangan mereka dengan turut mengisytiharkan slogan pengorbanan yang masyhur :
المَوْتُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ أَسْمَى أَمَانِنَا
“ Mati di jalan Allah adalah setinggi - tinggi harapan kami.”
Pengorbanan harga sebuah perjuangan.
Beberapa detik waktu sebelum Rasululllah saw dan para sahabat rhm. tiba di Madinah untuk mendaulatkan Islam , sejarah mendedahkan kepada kita betapa mereka telah melalui satu tempoh perjalanan yang sangat mengancam mereka. Namun begitu , demi menjayakan hasrat mereka ( untuk mendaulatkan Islam ) mereka telah membayarnya dengan harga yang terlalu mahal .
Yassir syahid kerana dicekik dan isterinya Sumayyah pula syahid kerana disula . Mereka melakukan pengorbanan ini semata – mata kerana tidak mahu kembali kufur kepada Allah swt. setelah mereka dipaksa oleh kuffar musyrikin .
Bilal ibnu Rabbah hampir menemui maut apabila ia diseksa dengan dahsyat , batu yang besar diletakkan atas dadanya dan dijemur pula bawah terik matahari sehinggalah Saiyidina Abu Bakar rha datang membebaskannya.
Suhaib Ar Rumi telah meninggalkan semua hartanya untuk melepaskan diri dari sekatan kuffar quraisy , sehingga Allah swt. menurunkan ayat :[1]
وَمِنْ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
( البقرة 207 )
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
Saiyidina Ali Karramallahu wajhah sanggup berhadapan dengan risiko yang sangat mengancam nyawanya ketika mengambil alih tempat tidur Rasulullah saw demi menjayakan hijraturrasul ke arah menegakkan negara Islam di Madinah .
Semua contoh pengorbanan ini adalah harga dan nilai perjuangan mereka terdahulu untuk mendaulatkan Islam, maka kenapa tidak kita juga melakukan pengorbanan sedemikian, walhal kita juga mempunyai hasrat yang sama untuk mendaulatkan Islam di tanahair kita. sementelah pula rakyat kini sangat bosan dan kecewa dengan kegagalan politik sekular dan ekonomi kapitalis dalam menangani kemaslahatan dan kebajikan ummah. [2]
Jangan berpuas hati dengan pengorbanan
Anggota parti / jamaah yang ikhlas dan berkeperibadian tinggi tidak akan berpuas hati dengan apa yang telah ia berikan kepada parti / jamaah . Sebaliknya ia akan berusaha lebih gigih dan giat untuk memperkayakan sumbangannya kepada parti / jamaah .
Inilah keperibadian seorang pejuang yang hanya mengambil kira kepentingan jamaah dan ummah. Sewajarnya kita juga menghiasi diri dengan keperibadian ini. Jangan dinilai jumlah pengorbanan kita kepada parti / jamaah tetapi nilailah bagaimana kualiti pengorbanan tersebut .
Pula jangan disoal apa yang parti / jamaah berikan kepada kita tetapi hitunglah apa yang telah kita berikan kepada parti / jamaah . Keperibadian dan semangat begini akan menjadi aset yang sangat berharga bagi sebuah perjuangan untuk mendaulatkan syariat Ilahi .
Seorang pejuang yang berpotensi juga akan prihatin terhadap peluang yang ada , untuk berlumba - lumba memberi pengorbanan terbaik kepada jamaah , ummah dan perjuangan .
[1] Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radhiallahu a’nhuma.
[2] Berjuang untuk mendaulatkan Islam dan syariatnya di tanahair kita (Malaysia) tidak kurang sukarnya berbanding negara - negara lain masa kini. BN yang menjadi penghalang utama kepada hasrat PAS/BA ( yang ingin mendaulatkan Islam ) tanpa henti merencana konspirasi dan komplot kejam bagi menggagalkan hasrat tersebut . Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk kekerasan dengan memperalatkan pihak polis untuk menangkap , mengusir dan membunuh pejuang dan aktivis BA. Namun perjuangan tetap diteruskan dengan semangat pengorbanan yang tiada taranya , sehinggalah Islam dapat dilaksanakan atau kita mati kerananya. .إما النصر و إما الشهادة
Sumber
AdyanaNur
21 Muharam 1436
Kampung Baung
Pengkalan Chepa
No comments:
Post a Comment