Monday, March 18, 2013

Setelah itu

Bismillah.
Assalamu’alaikum


Saya kembali setelah dua bulan lebih tidak menulis.Senyum.Mungkin saya lebih selesa bertwitter akhir-akhir ini.Bercerita pendek lebih memudahkan.Namun bercerita panjang merungkai segalanya.

Saturday, February 23, 2013

Muslimat Acuan Perjuangan

Bismillah
Assalamu'alaikum



Gadis Biasa yang Dambakan Syurga Melalui Pernikahan

Saya hanya seorang gadis biasa. Seperti gadis-gadis Muslim di luar sana. Yang beriman pada Allah yang Maha Esa. Yang sedaya upaya menjaga aurat dan tatasusila. Yang punya, hati perasaan dan jiwa. Saya juga seperti mereka-mereka yang dilahirkan sebagai seorang wanita. Cuma yang membezakan saya dengan mereka; segala puji bg Allah yang telah memilih saya menjadi seorang “Gadis dalam gerakan Islam”. Inilah ni’mat Allah yang tidak dapat saya dustakan. Apa lagi yang membuatkan saya tidak bersyukur? Bukankah diluar sana ramai wanita-wanita yang dicipta. Tapi saya diantaranya dipilih menjadi muslim tanpa perlu menggadai nyawa. Saya paling utama saya turut diantara yang dipilih untuk bersama mereka-mereka yang memperjuangkan agama…sungguh Tuhan, aku bersyukur diatas ni’mat yang diberikan.

Syurga Allah tidak dicipta untuk orang biasa-biasa. Tapi tempat bagi mereka yang luarbiasa! Dan diantara pintu-pintu menuju syurga Allah ialah melalui pernikahan. Pernikahan ialah satu ikatan suci yang menyatukan dua hati dan jasadi. Lelaki dan wanita. Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya umur yang panjang hingga ke saat ini. Saat yang sesuai bagi seorang gadis menjadi seorang isteri pada suami. Pernikahan bukan satu-satunya jalan menuju syurga Allah. Cuma dengan pernikahan, bukan hanya mampu membawa seorang ke syurga, tapi lebih!.
Persoalan perkahwinan sangat popular dan penting dalam sesebuah jemaah. Masakan tidak, hingga ditubuhkan satu unit khas Baitul Muslim. Saya tidak pernah menganggap perkahwinan satu perkara yang menjijikkan, menyusahkan atau membuang masa. Saya mahu bernikah, menyempurnakan kejadian saya sebagai manusia dan mengikuti sunnah Rasulallah. Saya mahu memberi dan menerima. Saya mahu melahirkan zuriat yang menjadi Ansarullah. Cuma apabila tanpa persediaan, pemahaman dan perasaan, perkahwinan yang dibina mungkin akan menjadi seperti yang disebutkan. Jijik, menyusahkan dan menyeksakan.

Izinkan saya menyampaikan perasaan seorang “Gadis ahli gerakan”. Ianya dilemma yg menyakitkan. Lebih baik saya menjadi gadis biasa-biasa. Rutin hidup yang biasa. Kerana saya akan mendapat seorang suami yang saya dambakan. Saya sama sekali tidak menyalahkan lelaki. Saya juga tidak menyalahkan wanita. Cuma saya merasakan inilah belenggu pemikiran  yang susah dipecahkan. Ianya perlu dipecahkan! ia perlu dimusnahkan!. Menjadi seorang gadis dalam gerakan, membuatkan hidup sedikit berbeza dari gadis-gadis lain. Masa yang agak penuh, tenaga yang digunakan, dan sedikit sifat-sifat kewanitaan yang terpaksa digadaikan.Malam2 naik motor sana sini. Turun ke medan demontrasi malah adakalanya berkempen ketika pilihanraya di bawah terik matahari. Inilah perjuangan yang telah saya pilih. Meneruskan mata rantai jalan dakwah.

 Banyak sudah saya terdengar dan membaca. “ Saya mahukan isteri solehah. Cerdik. Ayu. Lemah lembut. Berada di rumah menjaga anak-anak saya. Menjaga makan minum saya. Tidak perlu terlalu menonjol. Biasa-biasa saja. Tidak perlu terlalu aktif.. Tak perlulah bercakap dalam meting. Saya nak isteri saya yang biasa-biasa saja. Tapi luarbiasa. inilah gadis idaman saya"

Maha suci Allah, yang menciptakan saya sebagai seorang wanita gerakan. Saya sedih kali pertama mendengar suara-suara berkata begini. Tapi apabila saya mendengar kali ke-2, saya tidak sedih lagi. Malah saya tersenyum .Allahu Akram. Sungguh indah Allah menjadikan kehidupan.Sungguh cantik Allah mengaturkan. Hakikatnya, Tiada apa yg perlu saya tangisi kerana saya sedar bahawa, indah hidup ini kerana iman, mulia hidup ini kerana Islam, berkat hidup ini kerana mengejar keredhaan Allah, telinga mana yang tidak nyaman, hati mana yang tidak gembira, bila mana pilihan ibuku itu seorang yang menitikberatkan perihal agama, mmemerlukan teman seperjuanagn untu saling membahu agar kekal dalam perjuangan, bukan kecantikan dan keperawanan yang jadi ukuran, malah iman dan semangat perjuangan yang berkobar menjadi akar penyelesaian segala persoalan.

Wallahu'alam

Tulisan ini saya ambil daripada Notes Facebook sahabat saya yang mana sangat dekat dengan saya kisahnya.



Saturday, January 12, 2013

Setahun

Bismillah.
Assalamu’alaikum

Ini post pertama saya pada tahun 2013. Saya ada banyak benda nak post, tapi saya bertangguh dan akhirnya saya lupa.


Ada dua perkara ada pada tarikh 12 Januari ni, saya bermuhasabah. Pertama genaplah setahun saya memulakan hidup selepas tamat belajar, saya terbayang wajah-wajah kesayangan saya di sana.Sentiasa.Dan pada ketika ini tahun lepas saya terbayang mathor PC dan rumah saya dan isinya.Perasaan bercampur-baur.

Perkara yang kedua, semasa saya mengemas di RKB tahun lepas, saya dikhabarkan perkara yang sedih.Kakak sulung kawan baik saya meninggal dunia.Kakak beliau juga merupakan senior saya ketika di MMP.Saya sangat terkejut.Yang bercampur-baur tadi tak wujud dah.Nak call bukan masa, masa dia dan masa saya.Alfatihah buat Kak Wanis.

Semua tak kena waktu tu, kain tudung kesayangan saya pun tertinggal di RKB, laptop saya jatuh masa naik tramco, dan banyak lagi perkara tak best, yang paling tak best saya kira berlaku masa check in.Aduh, kalau diulang waktu, saya tak nak masa check in tu ada dalam ulangan waktu.Huhu.

Boleh baca post saya tahun lepas, itu pun post tak siap.

Setahun ini saya banyakkkkkkkkkk muhasabah.Sangat banyak.Saya dah muhasabahkan saya dan cadangan-cadangannya telah termaktub pada 1 Muharam yang lalu.Bila saya jumpa Ude Fadhilah pada muktamar yang lalu, tidak banyak saya share dengan beliau.Bila saya bersama dengan Ude, banyak yang saya muhasabahkan saya.

2 perkara ni akan sentiasa menjadi ingatan.Ingatan sampai bila-bila.Pada saya, balik tamat belajar, pada masa yang sama pasti kawan saya Nadwa, teringat Allahyarhamaah Kak Wanis.

Saya hanya perlu melangkah dan berlari untuk capai target saya.Berdoa kepada Allah agar saya husnulkhotimah.

Saturday, December 22, 2012

Senyum dan Tabah


Bismillah.
Assalamu’alaikum

Saya bahagia tengok gambar ini. Mereka masih mengukir senyuman! Semoga Allah memelihara kalian.
Senyum dan tabah :)

Mohon sangat penderitaan mereka akan tamat tak lama lagi.Teruskan berdoa!

Thursday, December 20, 2012

Bulan SAFAR : Antara Islam dan Jahiliyyah


Bismillah.
Assalamu’alaikum

Dalam menyelusuri kehidupan sehari-hari, jarang di kalangan kita mengambil berat tentang bulan-bulan Islam atau lebih dikenali dengan Bulan Hijrah. Keadaan sebegini secara halus akan menyebabkan kita lupa dengan hari-hari bersejarah dalam Islam sehingga rasa cinta dan sayang yang perlu ditanam kedalam hati-hati  semakin hari makin menghilang.

SAFAR ( (ﺻﻔﺮdari sudut bahasanya membawa erti "kosong". Ianya juga bermaksud "tiupan angin". Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan ketika itu adalah waktu berangin. 

Dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti "bulan di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang dan melakukan serangan serta menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka". 


PERISTIWA BERSEJARAH BULAN SAFAR

1. Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid. 

Ia berlaku sebelum Baginda s.a.w. dilantik menjadi Rasul. Khadijah antara individu yang menjadi tulang belakang kepada proses permulaan dakwah baginda di Kota Mekah bahkan beliau merupakan rusuk kiri yang sentiasa menemani Baginda s.a.w. dalam apa jua keadaan yang dilalui oleh Baginda susah dan senang.

2. Persidangan Darul Nadwah.
Ia dianjurkan oleh pihak musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah s.a.w. ketika baginda masih lagi berada di Kota Mekah. Secara ringkas diceritakan bahawa persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis laknatullah yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad.
Resolusi dari persidangan tersebut ialah Baginda s.a.w. dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah s.a.w. Kabilah Bani Abdul Manaf tidak mampu untuk mempertahankan Baginda daripada kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah s.w.t. telah memerintahkan Baginda s.a.w. keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah. Lalu berlakulah kisah penghijrahan Rasulullah bersama para sahabatnya ke Yathrib pada bulan Rabi’ul Awwal.
3. Rasulullah s.a.w. gering. 

Pada akhir bulan Safar menyaksikan kesedihan yang menyelubungi diri para sahabat Rasulullah s.a.w. kerana melihat keadaan Baginda s.a.w. mulai gering setelah kembali dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Baginda). Benarlah sebagaimana keresahan daripada khothir (lintasan hati) Sayyidina Umar el-Khattab setelah turunnya Firman Allah : “.. hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu (Islam), dan aku telah sempurnakan semua nikmat-nikmat Ku dan aku redha agama Islam sebagai agama kamu ..”. Baginda s.a.w. telah wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. “Allahumma solli ala Muhammad”

4. Peperangan yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w

-   Peperangan Al-Abwa’ (Wuddan) pada tahun ke-2 Hijrah setelah mendapat kebenaran syariat untuk berperang yang merupakan peperangan pertama dihadiri oleh Rasulullah s.a.w. dan 70 orang sahabat selepas berhijrah ke Madinah. Namun pulang Baginda s.a.w. bersama para sahabat tanpa perang.

-   Peperangan Dzu Amarr pada Tahun ke-3 Hijrah bersama 450 tentera Islam. Ia berlaku kerana Bani Tsa’labah dan Bani Dzu Ammar berkumpul untuk melakukan persiapan perang keatas umat Islam. Namun setelah mendengar ketibaan tentera Islam mereka langsung melarikan diri. 

-   Peperangan al-Raji (Bi’ru Ma’unah) pada tahun ke-4 Hijrah. Seramai tujuh orang sahabat diutus mengajar Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah namun dikhianati perutusan itu dengan serangan hendap. Kesemuanya dibunuh ditempat itu kecuali Khubaib bin ‘Adiy yang dibawa dan dibunuh di Mekah. Beliau merupakan yang pertama tunaikan solat dua raka’at sunat sebelum dibunuh yang kemudian menjadi sunnah ikutan.

- Pembukaan Kota Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ke-7 Hijrah. Ia disertai oleh 1600 tentera muslimin dan juga 20 orang sahabiah, antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala dipihak Yahudi pula seramai 93 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulaannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, alat kelengkapan senjata yang lengkap dan bilangan mereka yang ramai.

5. Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijrah.

Ianya di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid bagi menyebarkan Islam setelah kewafatan Rasulullah s.a.w..

6. Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah. 

Beliau adalah seorang pemimpin agung dunia Islam yang menawan kembali Kota Jerusalem (Palestin) daripada tangan tentera Salib Kristen dan pemimpin yang membebaskan Mesir daripada kerajaan Fatimiyah yang dipelopori oleh mazhab Syiah.

7. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.

Ianya jatuh ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijrah. Khalifah Al-Mu'tasim Billah, terbunuh beserta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu umat Islam. Beribu-ribu kitab Islam dimusnah.


Beberapa info tentang salah tanggapan sesetengah umat Islam terhadap bulan Safar :

Apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, masih terdapat daripada budaya jahiliah yang diperangi oleh Islam sebelum ini seakan-akan muncul semula walaupun ianya tidaklah meluas dikalangan kita.

Dalam bulan Safar, ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala-petaka daripada Allah s.w.t. khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.

Selain daripada amalan tersebut, terdapat juga umat Islam pada masa ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat.

Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam dan boleh merosakkan akidah.

Sebenarnya bencana atau bala itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja melainkan atas kehendak dan izin Allah s.w.t. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. :

قل لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا هو مولانا وعلى الله وعلى الله فليتوكل المؤمنون
 “Katakanlah (wahai Muhammad) tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah Allah catatkan kepada kami, Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah mereka yang beriman harus bertawakkal”.(Taubah : 51)
Selendang kasih Nur Ilahi kepada hambaNya tidak mengenal waktu dan ketika. Dalam apa jua keadaan dan masa sekalipun, sebenarnya Allah ingin memberi peluang kepada setiap dari kita mengabdikan diri kepadaNya. Jangan hanya disebabkan terdapat sesuatu kelebihan dan fadhilat yang besar yang telah dijanjikan Allah baharulah tergerak diri kepada ubudiyyah dan mengerjakan amal kepadaNya. 
Safar adalah bulan dimana Allah ingin menguji para hambaNya dan sebagai satu fatrah imtihan sejauh mana keikhlasan hati kita yang mengaku beriman kepadaNya.

Sesuailah dengan keadaan dan situasi kita semua. Sekarang adalah fatrah imtihan. Jangan dianggap bulan ini memberi kesan kepada ketidakberhasilan kita untuk memperoleh kejayaan. Hidupkankan sunnah Rasulullah dan hapuskan bidaah Jahiliah.


Kesimpulan

Sebagai umat Islam lebih-lebih lagi kita dikalangan pemuda dan pemudi yang memahami serta mencintai Islam mestilah sentiasa mengambil ihtimam (ambil berat) terhadap sejarah yang berlaku dalam ketamadunan Islam secara khusus dan ketamadunan dunia secara umum.

Secara asas, sejarah banyak memberikan kita ‘ibrah (pengajaran) terhadap peristiwa yang telah berlaku satu ketika dahulu. Ini sebagaimana juga yang telah terkandung dalam mukjizat yang abadi iaitu al-Quran yang menceritakan pelbagai peristiwa-peristiwa dari sejarah lampau ketamadunan umat manusia sebagai proses pembelajaran kepada umat yang terkemudian.

Itulah manhaj dan sistem atur kepada sebuah peradaban umat agar sentiasa mengkoreksi diri mereka melalui sejarah-sejarah lampau.

Pada masa yang sama, kita perlu mengambil berat terhadap isu-isu yang melanda umat Islam setiap ceruk dan aktiviti mereka. Biarlah sensitiviti yang dimainkan oleh kita menjadi satu wasilah kepada sebuah kesatuan dan kebangkitan umat Islam pada masa akan datang. 

Bahkan hari ini, bermulanya 1 Safar 1434 Hijriah bersamaan dengan 14 Disember 2012 (Jumaat), Kesatuan Ulama' Sedunia telah menyeru seluruh kaum muslimin menjadikan hari ini sebagai "HARI MENYOKONG PERJUANGAN UMAT ISLAM SYRIA SEDUNIA".

Kalaulah bulan Safar ini di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang dan melakukan serangan serta menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka maka bermula pada saat inilah kita juga cuba berusaha untuk menyatakan sokongan keatas umat Islam Syria dan seluruh negara umat Islam yang ditindas.
Kita juga jangan biarkan umat dalam kesesatan hasil daripada mereka bertaqlid membabi buta tanpa pedoman Quran dan Sunnah samada disebabkan nenek moyang atau ideologi-ideologi baru sebagai satu trend hidup yang meratah anak bangsa sesebuah umat dalam ketamaduan mengejar materialisme (kebendaan) dunia. 

Mainkan peranan dan keistimewaan kita sebagai umat Muhammad s.a.w. kerana kita dibangkitkan untuk menegakkan ma’ruf dan membenam munkar. Hasilnya, Islam akan terpacak gah di seantaro dunia dengan kemurniaan yang sedia ada padanya kerana sememangnya manhaj Islam adalah dari yang Maha Mulia.

Wassalam. 


“..BULAN SAFAR MERUPAKAN FATRAH IMTIHAN BAGI MENGUJI KEIKHLASAN KITA KEPADA-NYA.. ”
“.. اللهم اجعلنا من الناجحين والفائزين والمتفوقين فى الإمتحانات
والدين والدنيا والأخرة ولا تجعلنا من الراسبين والخاسرين ..”
“.. DO THE BEST FOR OUR EXAMINATION ..”

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"


Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin 
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012


_______________________________________

RUJUKAN :

1. Kitab Lathoiful Ma'arif fima al-Mawasimul 'Am minal Wazoif karangan al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali.Cetakan Maktabah Darul Hadis, Mesir.

2. Kitab al-Rahiqul Makhtum Bahsun fis Sirah al-Nabawiyyah karangan Syeikh Safiurrahman al-Mubarakfuri.Cetakan Maktabah Darul Aqidah, Mesir.

3. Kitab Fiqh Sirah ma'a Maujizul Tarikh al-Khilafah al-Rasyidah karangan Dr. Mhammad Saied Ramadhan al-Buthi. Cetakan Maktabah Darul Salam, Mesir.

4. Kitab Tarikh al-Fikrul Islami karangan Dr. 'Isomuddin bin Abdul Ra'uf al-Faqqi.Cetakan Maktabah Darul Fikr Arabi, Mesir.

5. Kitab al-Mausu'ah al-Muyassarah fi al-Tarikhul Islami karangan Dr. Raghib al-Surjani. Cetakan Maktabah Muassasah Iqra', Mesir.

Sumber

Sunday, December 9, 2012

Sambutan 25 tahun HAMAS

Logo ulang tahun HAMAS yang ke 25.

Bismillah.
Assalamu’alaikum

Hamas kini sudah berusia 25 tahun.Setahun lepas saya ada post mengenai HAMAS 24 tahun, ketika ini saya di Kaherah dan saya sangat teruja dan merasai kehangatan ulang tahun HAMAS yang ke 24 tahun lalu.

Sedikit mengenai HAMAS.

8 Disember 1987 HAMAS telah ditubuhkan bersama dengan terletusnya Intifadah rakyat palestin yang pertama. Ianya ditubuhkan hasil perundingan di antara enam orang pengasas utama HAMAS, iaitu Syeikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz al-Rantisi, Salah Syahadah, Muhammad Sham’ah, Isa al-Nashshar, Abdul Fattah Dukkhan dan Ibrahim al-Yazuri.

Penubuhan HAMAS dan pengisytiharan Intifadah itu akhirnya telah tersebar ke seluruh Gaza kepada seluruh anggota IM dan rakyat Palestin pada 11 dan 12 Disember. Ianya tersebar di Tebing Barat pula pada 14 dan 15 Disember. Intifadah 1987 itu sebenarnya merupakan tanda bermulanya siri jihad IM bersama rakyat di bumi Palestin secara massa dengan nama baru mereka… HAMAS!


Logo ulang tahun HAMAS yang ke 24.

Sumber :

Wednesday, December 5, 2012

Saya mengajar mereka melalui pengalaman dan kehidupan.




Bismillah.
Assalamu’alaikum

Awal bulan lepas, saya diminta oleh ma dan ayah untuk mengajar di Masjid Al-Karomah.Saya tdak menerima dan juga tidak menolak.Yang pasti saya tidak minat mengajar atau menjadi seorang GURU.Akhirnya saya terima kerana tidak mengganggu tugas-tugas saya di pejabat.Sehingga kini saya masih mengajar adik-adik seawal 12 tahun hingga 16 tahun.Saya dapati saya makin seronok dan banyak kerja yang perlu dibereskan.

Saya sentiasa berfikir untuk memberikan yang terbaik kepada mereka.Saya anggap saya bukan guru mereka seperti guru di sekolah yang mereka sangka.Saya sememangnya dididik untuk menjadi fasilitator, saya jadikan mereka adik usrah saya. Saya kira itu yang membuatkan saya tidak tertekan untuk menghabiskan silibus.


Saya mahu mereka menjadi remaja yang sentiasa belajar, berfikir dan berbuat sesuatu untuk ummah.Doa saya!



KakiBlog