Friday, March 23, 2012

8 Tahun kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin

Bismillah.
Assalamu'alaikum


Aku akan berjuang bersama saudaraku, ketika mereka merampas rumahnya.Aku tidak melawan Yahudi kerana mereka Yahudi. Aku melawan mereka kerana mereka merampas tanah kami.Mereka telah mencampakkan rakyatku pada kesengsaraan yang berpanjangan







Tahniah MMP

Bismillah.
Assalamu'alaikum

Tahniah MMP!
Calon yang mendapat 12A, 3 orang. 11A, 23 orang. 10A+, 2 orang. straight A 26 orang. 9A ke atas 58 orang.

Monday, March 19, 2012

Wawancara Syria Bersama Dengan Ustaz Abdul Malik Abdul Karim

Bismillah.
Assalamu'alaikum



Sudah setahun berlalu revolusi di Syria yang dicetuskan pada Mac 2011. Kebangkitan rakyat yang pada mulanya itu atau dikenali sebagai revolusi kini bertukar menjadi penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat yang mahukan demokrasi dan keadilan kepada negara itu. Bagi mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkaitan ini, Unit Penerangan & Penerbitan DPM (MAQAZ) Shoubra telah berkesempatan untuk mewawancara bersama Kordinator Kempen Prihatin Syria yang ditubuhkan oleh PMRAM saudara Muhammad Abdul Malik Abdul Karim pada 23 Februari 2012 yang lepas. Beliau juga merupakan Penasihat PMRAM dan Ketua Sekretariat Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara di Mesir. Semoga dengan sedikit usaha ini dapat memberi penjelasan kepada kita berkenaan apa yang berlaku di Syiria sekarang .


1. Jika dilihat kepada laporan di media sekarang ini, rakyat Syria sekarang ibarat berada di bumi asing, pembunuhan berlaku cukup-cukup menyayat hati bagi sesiapa yang melihatnya. Untuk itu bolehkah Ustaz jelaskan apakah yang sebenarnya berlaku di Syria sekarang ini?


Sebenarnya apa yang berlaku di Syria hari ini adalah penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai, bukan lagi revolusi. Kebangkitan mereka bagi melaksanakan tuntutan jihad yang paling besar iaitu seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Jihad yang paling afdhal adalah menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” Mereka bangkit setelah dizalimi lebih 40 tahun. Mereka bangkit demi menuntut sebuah kebebasan dan demokrasi. Keadilan dan hak seorang warganegara yang terlalu dinafikan hak terutama dalam soal politik dan pemerintahan. Bagi saya, revolusi di Syria ia amat berbeza dengan revolusi yang berlaku di Tunisia, Libya dan di Mesir. Syria terpaksa mempersembahkan ribuan rakyatnya sebagai ganti kepada makna sebuah kebebasan. Mereka keluar ke jalan-jalan raya tanpa senjata bahkan keluar secara aman berhadapan dengan tentera-tentera rejim yang amat kejam dan dilengkapi pelbagai kemudahan senjata. Tetapi mereka tetap tabah meneruskan perjuangan sekalipun usia revolusi mereka sudah menjangkau setahun. Ketabahan mereka khasnya kepada penduduk di Baba ‘Amru dalam wilayah Homs yang dikepung dan digempur sejak sebulan lalu dikagumi oleh dunia.


2. Siapakah sebenarnya Bashar Assad dan adakah beliau yang menjadi punca sebenar kepada kezaliman yang berlaku di Syria sekarang atau ada tangan lain lagi yang menjadi dalang disebalik pembunuhan dan penyeksaan yang berlaku di Syria sekarang?


Bashar Al-Asad adalah penerus kepada dinasti keluarga Al-Asad yang diasaskan oleh bapanya, Hafez Al-Asad. Basyar mempunyai abang, Basil tetapi meninggal dunia dalam satu kecelakaan jalan raya pada tahun 1994 yang dirancang demi kepentingan politik Basyar. Basil seorang yang amat berlainan watak dengan bapa dan adiknya, Basyar. Basil dilihat cenderung kepada agama bahkan sering mengundang para ulamak menyampaikan pengajian di istana. Basyar seorang doktor mata. Selepas kematian bapanya pada tahun 2000, Basyar dilantik menjadi Presiden. Tetapi malangnya dia tidak mempunyai pengalaman dalam politik. Ini menyebabkan dia melantik ahli keluarganya menjadi pembantunya. Antaranya ialah adik lelakinya, Maher Al-Asad yang dilantik sebagai Ketua Tentera, Atif Najib sebagai Ketua Pasukan Polis di Dar’a selain banyak mendengar pandangan dari ibunya, Anisah Makhluf. Latarbelakang keluarga Al-Asad ini berpegang kepada fahaman sekular dan menganut Syiah Nusairi. Tidak hairan, terdapat satu pendedahan bahawa ibunya sering menjadikan fatwa dan pandangan pemimpin tertinggi Syiah di Iran, Ayatullah Ali Khomeini sebagai rujukan keluarga mereka dalam mentadbir negara.


Sebenarnya Syiah Nusairi ini telah disepakati ulamak Sunni bahawa Syiah ini telah keluar dari Islam berdasarkan kepercayaan mereka yang telah menyimpang dari aqidah Islam sebenar. Sebagai contoh, kalangan mereka ini yang menyembah matahari, bulan bahkan awan kerana menganggap Ali bin Talib r.anhu itu berada di atas makhluk yang disebutkan tadi. Bahkan jika diperhatikan tiada satu pun bermula dari aqidah hingga syariat yang boleh disamakan antara Sunni dengan Syiah Nusairi. Pemujaan mereka terhadap Ali dan isterinya, Fatimah Az-Zahra’ hingga mencapa tahap Ali adalah Tuhan sudah cukup menjadikan mereka syirik. Ini belum lagi dilihat cacian mereka terhadap para sahabat Nabi s.a.w, kebencian terhadap Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab, mencerca isteri Rasulullah, Aisyah dan Hafsah. Belum lagi dilihat dari sudut menambah surah-surah palsu dalam Al-Quran kononnya terdapat surah yang menjadi bukti Allah melantik Ali sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w dan pelbagai penyelewengan lain. Senjata utama mereka yang cukup berbahaya ialah taqiyah. Ramai tidak mengetahui, taqiyah ini digunakan oleh Syiah bagi tipu muslihat mereka. Taqiyah bermaksud lakonan atau mudahnya lidah bercabang. Bagi Syiah, taqiyah ini adalah harus bagi mereka. Sebagaoi contoh, menghalalkan darah Nasibi atau “musuh Ali dan keluarganya” yang ditujukan kepada pengikut Sunni. Jika ditanya, mereka tidak akan mengaku bahkan mengatakan ia adalah fitnah kepada Syiah akan tetapi jika dirujuk kepada kitab-kitab muktabar mereka, ada disebut dengan jelas. Boleh rujuk kitab “Usul Al-Kafi” oleh Al-Kailani, El-Istibsor atau Man La Yahdurul Faqih yang ditulis oleh ulamak-ulamak mereka.


Oleh sebab itu, tidak hairan pada Selasa lalu, kumpulan ulamak yang diketuai oleh Dr.Ali As-Salus mengeluarkan fatwa bahawa Basyar sudah kafir dan darahnya sudah halal untuk dibunuh.


3. Bagaimanakah sejarah dan sistem pemerintahan keluarga Asad di Syria?


Sejarah lebih 30 tahun  Syria di bawah rejim Hafiz Al-Asad menyaksikan terlalu banyak kezaliman yang dilakukan. Perkara pertama yang dilakukan oleh rejim Hafiz ialah menjatuhkan kepimpinan Sunni yang berada di sekelilingnya dan menaikkan golongan Syiah sebagai peneraju di kementerian-kementerian utama. Selepas itu, Syria menyaksikan pengaruh Ikhwan Muslimin berkembang yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh seperti Dr.Mustafa Siba’ie, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah , Syeikh Sa’id Hawa dan Dr.Munir Ghadban.Apabila melihat pengaruh Ikhwan Muslimin sudah berkembang, rejim Hafez telah melakukan pindaan pada perlembagaan negara itu dengan memasukkan fasa baru yang menyatakan dengan jelas iaitu sesiapa yang menyertai pertubuhan Ikhwan Muslimin maka hukumannya ialah hukuman mati. Gerakan dan kegiatan Ikhwan Muslimin diharamkan. Ini kerana selain berpegang dengan aqidah Syiah Nusairi, Hafez seorang sekular bahkan memperjuangkan dasar sosialis melalui partinya, Parti Kebangkitan Sosialis Arab. Parti ini diasaskan pada tahun 1947 dengan memperjuangkan dasar sosialis dengan matlamat utama; Bekerja demi mencapai perpaduan, kebebasan dan sosialisme. Slogannya ialah “Bangsa Arab yang satu dengan risalah yang berkekalan”.Kepimpinannya pula terdiri daripada tiga golongan:


Pertama: Yahudi


Kedua: Syiah ‘Alawiyyin


Ketiga: Golongan Sunni yang berfahaman sekular


Paling kejam apabila pada tahun 1982, Hafez Al-Asad bertindak ke atas penduduk di wilayah Hama melalui operasi ketenteraan yang digelar “operasi bumi hangus”. Ini kerana pada serangan ketenteraan selama 27 hari itu, tentera Syria atas arahan Hafez telah menggunakan kelengkapan perang seperti meriam bagi menyerang penduduk kampung yang tidak memiliki apa-apa senjata. Operasi ini yang diketuai oleh adik Hafiz sendiri iaitu Rif’at telah mengorbankan lebih 40 ribu nyawa muslim Sunni. Itu penyembelihan yang besar, belum dilihat penyembelihan kecil yang dilakukan. Sebagai contoh, pembunuhan di sebuah perkampungan di Halab yang dilancarkan pada pagi Hari Raya Aidilfitri tahun 1980. Ketika rakyat baru selesai menunaikan solat Aidilfitri, segerombolan tentera di bawah Jeneral Hashim Ma’ala telah mengepung kampung tersebut dan membunuh lebih 40 orang penduduk. Satu lagi contoh kekejaman Hafez diceritakan oleh seorang ulamak, Dr.Riyadh Abdullah. Katanya, Al-Marhum Sa’id Hawa pernah memberitahu beliau bahawa terdapat sebuah kubur yang lebarnya 10 meter yang Hafez menanam rakyatnya hidup-hidup.


Sejak peristiwa-peristiwa kejam tersebut, rakyat Syria sentiasa dibelenggu dengan ketakutan yang maha dahsyat. Mereka tidak berani menegur dan mengkritik Presiden bahkan dalam keluarga pun, seorang ayah tidak berani bercakap soal politik negara dengan anak dan begitulah sebaliknya. Bahkan terdapat kisah mereka yang mengkritik Presiden boleh dipenjara hingga 6 bulan.


Dalam masa yang sama, Hafez cukup menikus dengan Israel. Sejarah telah membuktikan bagaimana Bukit Golan yang menjadi hak Syria boleh terlepas kepada Israel dengan begitu mudah walaupun kononnya media negara menonjolkan Hafez seorang wira apabila melancarkan peperangan ke atas Israel tahun 60-an bagi merampas tanah Golan. Tetapi sebenarnya itu hanyalah lakonan Hafez apabila Israel dengan mudah merampas Bukit Golan dan hingga hari ini sebutir peluru tentera, Syria tidak lepaskan kepada Israel.


Hafez sebenarnya bukan membenci Ikhwan Muslimin tetapi membenci dan memusuhi Islam Sunni. Sebagai contoh di zamannya, Hafez mengeluarkan perintah kepada Kementerian Wakaf supaya tidak membenarkan masjid-masjid di Syria mengadakan pengajian bahkan selepas solat, masjid mesti ditutup.


4. Jika dilihat kepada revolusi Mesir hanya memakan masa 18 hari, begitu juga di Tunisia dan Libya yang menyaksikan kejatuhan rejim masing-masing. Di Syria, adakah terdapat dalang di sebalik rejim Syria yang menyebabkan rejim mampu bertahan?


Masa yang begitu lama di Syria berbanding dengan Mesir dan lain-lain antaranya kerana faktor tentera. Perlu diingat, tentera Syria diketuai oleh adik kandung Basyar iaitu Maher. Selepas dilantik Presiden Syria pada tahun 2000, Basyar tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pentadbiran kerana dia hanya seorang doktor dan ayahnya tidak melatih dirinya untuk menjadi politikus. Maka, dia terpaksa melantik orang yang dipercayainya dari kalangan keluarganya membantunya dari sudut pentadbiran. Maka dilantik adiknya sebagai ketua tentera, sepupunya Atif Najib sebagai ketua polis wilayah Dar’a selain tiga orang iparnya iaitu Asif Syaukat, Muhammad Nasif dan Abdul Fattah Qudsiyah.


Selain faktor kekuatan ketenteraan, sokongan Iran dan Hizbullah juga membantu Syria. Saya menyatakan demikian kerana terdapat bukti yang kukuh penglibatan Iran. Seperti yang kita maklum, Iran dan Hizbullah ini adalah Syiah. Dalam fahaman Syiah, kuasa atau wilayah itu merupakan perkara yang usul bukan furu’. Maka mereka akan mempertahankan bermati-matian kerajaan Syiah mereka sekalipun terpaksa menumpahkan darah. Terdapat tentera Syria yang berpaling tadah ini menangkap beberapa individu yang membantu tentera rejim. Apabila disiasat didapati mereka adalah tentera Iran yang masuk membantu rejim Syria. Begitu juga ‘wayang’ yang cuba dimainkan oleh Iran dalam mendalangi revolusi di Bahrain. Kita dikejutkan dengan berita kononnya angin perubahan dan revolusi sudah bertiup ke negara Bahrain. Bahrain adalah dipimpin keluarga beraja Sunni. Sebenarnya, berita revolusi di Bahrain adalah tidak benar. Apa yang berlaku ialah hanya beberapa kerat pemuda-pemuda Syiah Bahrain yang mencetuskan kekacauan di ibu negara, Manama. Minggu lalu, mereka menyerang balai polis menggunakan senjata api. Apabila berjaya diberkas, senjata di rampas didapati senjata tersebut buatan negara Iran.


Ini wajah sebenar pimpinan Syiah Iran yang sebenarnya menggunakan nama Islam sebagai alat dan propaganda mereka untuk memancing kepada fahaman Syiah mereka. Jumaat lalu, satu lagi kenyataan berbentuk provokasi dikeluarkan oleh ulamak Syiah mereka, Ayatullah Ahmed Jannati sewaktu berucap di Universiti Tehran menyatakan “Wajib ke atas Syiah untuk memasuki Syria dan berjihad bersama-sama pemerintah Syria hingga Syria tidak jatuh ke tangan musuh Ahlul Bait.” Apakah maksud kalimah ini? Siapa yang dimaksudkan dengan “musuh Ahlul Bait iaitu keluarga dan keturunan Rasulullah?” Bagi Syiah, musuh Ahlul Bait ialah golongan Nasibi atau mudahnya adalah Sunni. Bagi mereka, mempertahankan rejim Syria hari ini adalah jihad yang amat besar. Ekoran fatwa jahat ini, pada hari berikutnya, pertubuhan pembangkan menerima maklumat lebih 10 buah bas yang sarat dengan pengikut Syiah dari Iraq iaitu tentera Mahdi telah memasuki Syria bagi memerangi rakyat yang menuntut Basyar dijatuhkan.


Kedua, saya ingin jelaskan pendirian Hizbullah dalam kebangkitan rakyat Syria. Di awal revolusi, pemimpin mereka, Hasan Nasrallah menyatakan bahawa Hizbullah menyokong revolusi yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan Yaman kecuali Syria. Lebih menyedihkan, beberapa minggu lalu Nasrallah mengeluarkan kenyataan “tiada apa-apa yang berlaku di Homs” sedangkan dunia dapat menyaksikan betapa pembunuhan ke atas rakyat dilakukan saban hari di wilayah Homs, bagaimana Nasrallah boleh membutakan matanya dengan menyatakan tiada apa-apa yang berlaku? Sukacita saya mengingatkan teman-teman agar jangan tertipu dengan lakonan Islamik yang ditunjukkan oleh Hizbullah atau Iran. Terlalu banyak pendedahan yang dilakukan oleh bekas kumpulan Hizbullah atau bekas pengikut Syiah Iran yang mendedahkan kegiatan mereka sebenarnya. Sebagai contoh, sebuah buku bertajuk “Apa yang anda tahu tentang Hizbullah?” ditulis oleh Ali As-Sodiq, penulis mendedahkan petikan sebuah akhbar “Al-Anba” bilangan 8630 yang diterbitkan pada 27 Mei 2000 kenyataan Hasan Nasrallah menyatakan “Kami sama sekali tidak akan menyertai sebarang operasi ketenteraan menentang Israel bagi tujuan membebaskan Al-Aqsa”.


5. Dalam menghadapi revolusi bagi menjatuhkan kerajaan Bashar Assad di Syiria sekarang ini, tidak adakah kuasa-kuasa besar dunia seperti PBB dan Liga Arab yang betul-betul membantu rakyat Syiria dalam menentang dan menjatuhkan pemerintahan rejim Syiria ini?


Hingga kini, tiada apa yang boleh diharapkan kepada dunia. Liga Arab, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka hanya bersandiwara kononnya akan membantu rakyat Syria. Dalam hal ini, kita boleh memuji negara Turki yang menjadi jiran kepada Syria. Kerajaan pimpinan Tayyib Erdorgan kerap mengkritik rejim Syria bahkan membuka pintu sempadan negara untuk dijadikan khemah pelarian bagi rakyat Syria. Menteri Luarnya, Dawud Ughlu sendiri dilihat turun ke khemah-khemah pelarian membelai rambut kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman Basyar. Negara Saudi sendiri juga dilihat memberikan bantuan moral kepada Syria melalui rajanya, Raja Abdullah. Begitu juga terdapat cadangan dari Qatar yang menggesa negara Arab menghantar pasukan keamanan bagi memelihara keselamatan rakyat Syria.


Juga terdapat usaha PBB membentangkan usul di Majlis Keselamatan bagi menggesa tekanan lebih berat dikenakan kepada Basyar tetapi malangnya Russia dan China menggunakan kuasa veto menghalang usul tersebut diluluskan. Lebih mengecewakan, Menteri Luar Russia memberikan amaran kepada Qatar jika negara Qatar meneruskan cadangan menghantar tentera ke Syria, “Qatar akan dipadamkan dari peta dunia” satu kenyataan ugutan.


Dalam hal ini, Hamas juga menunjukkan sokongan kepada revolusi rakyat Syria. Pendirian Hamas sebelum ini ditunggu-tunggu dunia kerana Syria dan Iran adalah sekutu Hamas yang banyak memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Bahkan Ketua Biro Politiknya, Khaled Mash’al juga mendapat perlindungan di Damsyik.


Buat masa ini juga, tiada kumpulan Islam yang betul-betul serius dalam menangani isu ini. Mungkin kerana masing-masing fokus kepada isu dalaman masing-masing, sebagai contoh Ikhwan Muslimin Mesir yang baru dapat menguasai Parlimen dan bakal berhadapan dengan Pilihanraya Presiden dan pindaan terhadap Perlembagaan Mesir. Begitu juga negara-negara atau kerajaan Arab lain, mereka sepakat mengutuk tindakan kezaliman Basyar tetapi tiada tindakan susulan dilakukan.


6. Apakah sumbangan terbaik yang kita dapat berikan kepada ummat Islam di sana  sekarang ini?


Sebelum saya menjawab soalan ini, saya ingin melahirkan rasa dukacita terhadap laporan berita di Malaysia yang sedikitpun tidak membayangkan keadaan sebenar. Televisyen Malaysia telah melabelkan pejuang revolusi di Syria sebagai “pemberontak”. Apa beza dengan Basyar? Basyar melabelkan rakyatnya yang menuntut kebebasan ini sebagai “pengganas”. Lebih menyedihkan ada yang menganggap penyembelihan di Syria adalah ‘propaganda’. Saya tidak faham, apakah yang dimaksudkan dengan propaganda. Adakah pengeboman ke atas Homs hari ini propaganda? Adakah Masjid Khalid Al-Walid di Homs yang dibom beberapa hari lalu propaganda? Adakah tentera rejim yang memukul dan memaksa rakyatnya yang beragama Islam menukar syahadah kepada “Lailaha Illa Basyar” adalah propaganda? Adakah seorang kanak-kanak wanita bernama Marwah yang disembelih dan hanya menampakkan kepala sewaktu dikebumikan adalah propaganda? Adakah serangan tentera rejim yang memutuskan bekalan elektrik dan kemudian masuk menyerang dan membunuh pesakit dan doktor perubatan di Hospital Doma dan Homs beberapa minggu lalu adalah propaganda? Tidak, mereka sebenarnya tidak mendapat maklumat sebenar. Media dikuasai oleh pihak musuh dan musuh akan memastikan berita yang tepat tidak akan sampai. Maka antara tindakan yang boleh kita lakukan ialah:


Pertama: Sebaran maklumat. Saya mohon semua menggunakan kecanggihan teknologi hari ini bagi menyebarkan maklumat kepada mereka yang hampir dengan kita khasnya keluarga dan kawan-kawan di Malaysia.


Kedua: Kewangan. PMRAM sendiri telah melancarkan Kempen Prihatin Syria dan menubuhkan tabung khas bagi membantu rakyat Syria. Maka kewajipan kita menghulurkan bantuan kewangan.


Ketiga: Membantu dari sudut memperbanyakkan doa, solat hajat dan bacaan qunut nazilah pada setiap solat fardhu. Lakukan di rumah bersama kawan-kawan atau di markaz PMRAM cawangan masing-masing.


7. Pesanan Ustaz kepada semua


Saya ingin berpesan kepada para penuntut ilmu khasnya di Mesir agar mendalami aqidah Islam yang kita anuti hari ini iaitu aqidah Ahlus Sunnah wal jamaah serta berhati-hati terhadap aqidah yang memesongkan kita dari ajaran Islam yang sebenar. Apatah lagi fahaman yang mencerca para sahabat Nabi serta isteri-isteri kesayangan Rasulullah s.a.w seperti Syiah. Lebih-lebih lagi kita yang mendokong manhaj Al-Azhar yang jelas mengambil Ahlus Sunnah wal jamaah sebagai pegangan. Selain mendalami ilmu turath dan semasa, saya mengesyorkan supaya siswa dan siswi mengkaji sedikit sebanyak pemikiran fahaman yang menyimpang ini kerana ia cukup membahayakan umat Islam. Pendirian kita terhadap Ahlul Bait iaitu keluarga dan keturunan Rasulullah dalam hal ini mesti jelas. Kita tidak pernah memusuhi Ali dan keluarganya bahkan kita menyayangi dan wajib menghormati Ali dan semua sahabat Rasulullah s.a.w yang mempunyai kelebihan masing-masing. Bahkan menyayangi ahli keluarga Rasulullah adalah kewajipan dan perintah oleh Allah dan RasulNya. Akan tetapi perlu diingat, menyayangi mereka bukan hingga memuja dan mendewa-dewakan mereka. Saidina Ali dan Fatimah juga berlepas diri dari sebarang pemujaan yang dilakukan oleh pelampau mereka. Banyak kitab ditulis oleh ulamak yang menjawab tohmahan Syiah contohnya Dr.Muhammad Imarah, seorang tokoh pemikir Islam. Selain itu, Al-Marhum Syeikh Said Hawa juga telah menulis buku bertajuk “Khomeini: Pelik dari Sudut Aqidah, Pelik dari Sudut Pendirian” yang mempersoalkan beberapa pendirian Syiah yang dipelopori oleh Khomeini selepas mengasaskan negara Islam ala-Syiah di Iran tahun 1979. Jika Syiah satu fahaman yang tidak membahayakan fikrah Islam dan umatnya, kenapa perlu Al-Marhum seorang tokoh Sufi yang Haraki menulis buku seumpama itu.


Sebagai penutupnya  Ustaz Abdul  Malik meninggalkan kita dengan persoalan yang kita sendiri yang harus menjawabnya sebagai ummat Islam. Semoga dengan perkongsian ini dapat menjawab dan menjernihkan segala kekusutan dan pertanyan berkenaan dengan dilema yang di alami oleh umat Islam di Syiria sekarang ini dan memberi pengajaran dan pencerahan kepada kita apakah tindakan yang sepatut dan sewajarnya kita lakukan sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w pada saat umat Islam ditindas sekarang ini.


Sumber



KakiBlog