Sunday, October 20, 2013

Bahagianya Merayakan Cinta


Bismillah.
Assalamu’alaikum

Berkahwin. Ia bukan masa untuk berehat dari tugas kekhalifahan. Kecuali bagi orang-orang yang memandangnya sebagai buah yang menanti dipetik selepas lama menjadi bujang, selepas lama berjuang. Kerana sesungguhnya berkahwin dan berjihad menyebarkan risalahNya adalah seiring sejalan.

Usamah bin Zaid menjadi penglima Islam ketika usianya 18 tahun. Namun sesungguhnya pada usia beliau 16 tahun beliau telah pun menikahi Fatimah binti Qais. Begitu juga dengan seorang pemuda tampan, Mus'ab bin Umair. Beliau menjadi duta pertama Islam ke Madinah setelah beliau menjadi suami kepada Hamnah bint Jahsy ketika masih di Mekah. Kedua-dua sahabat ini menjadi manusia hebat dalam sejarah selepas perkahwinan mereka. Kehidupan rumahtangga tidak melalaikan mereka dengan tugas mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak, bahkan menjadikan mereka manusia yang sangat kental memperjuangkan Islam. Mereka lebih mencintai Islam selepas pernikahan. Mereka lebih laju memacu langkah merebut peluang mencari redha Allah. Contohilah mereka, hayatilah rahsia rumahtangga yang menjadikan mereka luarbiasa.

Titiskanlah air mata andainya perkahwinan menghalang kita daripada menjadi seperti Usamah bin Zaid dan Mus'ab bin Umair. Mari kita menangis di hadapan Allah sekiranya perkahwinan melenakan manusia daripada tugas menjadi khalifah dan berjihad di jalanNya...

Jika kemalasan dan cintakan kerehatan telah merantai sebuah rumahtangga, jadi di manakah keberkatan sebuah pernikahan yang sepatutnya kita raih?

"Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi hari dan senja hari dengan mengharap keredhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginannya dan melampaui batas." [Al-Kahfi: 28]

Bahagianya Merayakan Cinta, Salim A Fillah.

No comments:

Post a Comment

KakiBlog